أصحاب

Tuesday, June 28, 2011

Iktibar Israk Mikraj



Ulama berselisih pendapat dalam menentukan ketetapan tarikh berlakunya peristiwa penting itu. Menurut Ibn Ishaq ia berlaku selepas 10 tahun baginda dilantik menjadi Rasul. Az-Zuhri pula berpendapat ia berlaku setahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah iaitu pada bulan Rabiul Awal, sementara as-Saddi menegaskan ia berlaku pada bulan Rabiul Awal, 16 bulan sebelum baginda berhijrah. Ada pun al-Hafiz Abdul Ghani Ibn Surur al-Maqdasi berpendapat ia berlaku pada 27 Rejab sebelum penghijrahan baginda ke Madinah.

Sementara Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qardawi pula berpendapat, bahawa riwayat mengenai peristiwa Israk dan Mikraj terdapat banyak pembohongan dan riwayat palsu yang boleh menggugat kedudukan iman Muslim, kerana peristiwa tersebut tidak berlaku pada bulan Rejab berdasarkan penjelasan al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani, di mana ia tidak berlaku pada malam 27 Rejab kerana ia tidak disokong dengan hadis-hadis Sohih atau pun kata-kata Sahabat yang Sohih.

Itulah juga pendapat Imam an-Nawawi daripada mazhab Imam as-Syafie dan Imam Abu Ishaq yang berpendapat bahawa Israk Mikraj berlaku pada malam 27 Rabiul Awal. Justeru tiada nas yang menyebut keistimewaan beramal pada hari tersebut, sama ada dengan ibadat puasa atau yang lain, kerana puasa pada hari yang tidak jelas bila berlaku peristiwa itu adalah sebahagian daripada perkara bidaah, kerana tiada nas yang jelas menyuruhnya, tetapi jika kebetulan ia jatuh pada hari Isnin atau Khamis, puasa yang dilakukan itu dibolehkan kerana Nabi sering melakukannya.

Tetapi apa yang penting diambil iktibar daripada peritiwa itu, ialah pengajaran mengenai perjalanan baginda dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan mikraj Rasul hingga ke langit ketujuh (Sidratul Muntaha).


Adakah Israk berlaku dengan roh dan jasad Nabi?


Musuh-musuh Islam terutamanya di kalangan Orientalis barat, telah meletakkan jarum-jarum mereka dalam penulisan buku-buku sejarah dan sirah baginda Rasulullah s.a.w. Ia bertujuan agar umat Islam yang membacanya akan terkeliru dengan fakta sebenar mengenai perjalanan Israk dan Mikraj.

Mereka berpendapat, bahawa peristiwa Israk dan Mikraj hanya berlaku dalam mimpi baginda, iaitu hanya dengan roh sahaja dan tidak dengan jasad sekali, itu hanya dakwaan Muhammad semata-mata.

Namun bagi para ulama pula, mereka sepakat menyatakan bahawa Israk dan Mikraj yang berlaku ke atas baginda Rasulullah s.a.w. dengan roh dan jasad sekali, tidak hanya dengan roh seperti yang didkawa oleh musuh-musuh Islam.

Ini kerana mereka berpendapat, bahawa ungkapan perkataan 'hamba-Nya' dalam ayat pertama mengenai Israk merangkumi roh dan jasad pada diri seorang insan khususnya Nabi Muhammad s.a.w., sedangkan ia berlaku hanya dengan roh sahaja adalah berdasarkan riwayat-riwayat palsu yang sengaja untuk melemahkan keperibadian Rasulullah.

Sedangkan terdapat riwayat menunjukkan bahawa baginda menerima pensyariatan ibadat solat lima waktu secara langsung daripada Allah SWT adalah dengan roh dan jasad, itulah satu-satu ibadat khusus yang diberikan Allah secara langsung kepada baginda berbeza dengan ibadat-ibadat lain.

Program masjid ke masjid menjadi ukuran hiburan baginda

Peristiwa Israk dan Mikraj berdasarkan penjelasan para ulama berlaku sebelum penghijrahan baginda ke bumi Madinah. Ia sebagai satu pendekatan Allah untuk menghiburkan Nabi-Nya yang kehilangan dua tonggak kekuatan dakwah baginda, iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan isteri tercinta iaitu Sayidatina Khadijah.

Sebagai manusia, baginda juga merasa sedih dan pedih dengan kematian dua orang penting yang banyak berjasa dalam mengembangkan sayap-sayap Islam di Makkah, namun Allah SWT mahu baginda terus berhubung kepada-Nya dalam keadaan yang penuh dengan kesedihan dan kemurungan.

Maka Allah Yang Maha Bijaksana telah merancang satu program berbentuk keagamaan, iaitu program masjid ke masjid, iaitu daripada Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestin, inilah contoh terbaik satu bentuk hiburan bagi menghilangkan perasaan gundah gulana yang dialami baginda selepas kematian dua tokoh terpenting.

Ia berlaku dalam semalaman sahaja yang menandakan bahawa Allah mampu bertindak demikian, walaupun ramai di kalangan manusia tidak mempercayainya malah menafikannya, sehingga pada waktu itu datang Abu Bakar as-Siddiq tanpa mengambil masa panjang terus mengiyakan peristiwa berkenaan.

Hasil daripada program masjid ke masjid

Yang paling penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj, ialah baginda menerima kewajipan solat lima waktu yang dijemput Allah secara langsung di langit yang ketujuh.

Walaupun pada peringkat awal, Allah mewajibkan 50 waktu solat yang dijangkakan bahawa umatnya tidak mampu untuk melakukannya atas nasihat Nabi Musa a.s, maka baginda terus melakukan tawar menawar dengan Allah agar dikurangkan kepada jumlah yang sedikit.

Baginda berjumpa dengan Allah dengan merayu kepada-Nya supaya ia dikurangkan, dengan perasaan malu baginda tetap berjumpa Allah sehingga ia dikurangkan kepada lima waktu, itulah pengorbanan dan ingatan baginda terhadap umatnya.

terdapat di kalangan umatnya tidak berterima-kasih kepada baginda kerana sanggup meninggalkan solat fardu berkenaan, walaupun kita hanya melakukan lima waktu, tetapi diganjari dengan lima puluh pahala, berbeza dengan umat terdahulu, lima puluh waktu solat hanya diganjari satu pahala setiap solat. Inilah kelebihan kita sebagai pengikut dan umat Nabi Muhammad, tetapi mengapa masih ramai yang mengabaikan tanggungjawab ini, sedangkan solat adalh perkara pertama yang ditanya oleh Allah pada hari Qiamat, tidak yang lain.

Baginda mengimamkan solat nabi-nabi sebelum dimikraj

Baginda Nabi Muhammad s.a.w. sebelum berangkat dengan 'Buraq' untuk menuju langit ketujuh, menjadi imam solat kepada nabi-nabi terlebih dahulu, antaranya Nabi Musa a.s., ia berdasarkan sebuah hadis, di mana baginda bersabda: "Jika Musa bin Imran diutus di kalangan kamu, maka tiada sebab dia menjadi salah seorang pengikutku."

Suasana solat berjemaah yang diimamkan oleh baginda nabi Muhammad s.a.w. itu menunjukkan bahawa para nabi semuanya akur terhadap kedudukan baginda sebagai Rasul terakhir yang menyempurnakan syariat agama Allah.

Mereka bersalaman antara satu sama lain sebagai tanda kesyukuran dan simbolik menyerahkan tugas kerasulan kepada Nabi Muhammad s.a.w., ia juga sebagai satu petanda betapa hubungan antara Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa begitu intim dan akrab, apatah lagi majoriti para nabi di kalangan Bani Israil yang merupakan kiblat pertama umat Islam di muka bumi ini, selain menjadi syiar agama Islam terdahulu.

Ia juga menunjukkan bahawa kepimpinan baginda Rasulullah s.a.w sebagai Nabi terakhir diperakui oleh Allah, sebagaimana yang ditegaskan menerusi beberapa ayat al-Quran mengenainya.


Pengajaran penting daripada Israk dan Mikraj


Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qardawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Persoalannya di sini, mengapa Allah tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di Masjid al-Aqsa?

Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para Anbiya terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad, di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam ayat pertama surah al-Israk.

Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para Anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia.

Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid al-Haram hingga ke hari ini.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat Islam membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia ada kaitan dengan persoalan akidah mereka.

Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan kedudukannya dalam masyarakat.

Apabila solat seseorang itu beres dengan Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua masjid yang disebutkan di atas.

Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan Allah, ia terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan tugas dan peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran.

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi SAW langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah SWT. Allah telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Nabi Muhammad SAW.

Mafhum Firman Allah S. W. T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israa': Ayat 1).

Source: http://ustazshauqi.blogspot.com

Saturday, June 25, 2011

Pengertian Takwa

Hamka mengatakan dalam taqwa terkandung cinta, kasih, harap, cemas, tawakal, redha, sabar dan sebagainya. 

Rasulullah pernah bertanya kepada Abu Hurairah: "Pernahkah engkau bertemu jalan yang berduri? Bagaimana tindakanmu pada waktu itu?." Sahabat tersebut menjawab, "Apabila aku melihat duri, aku menghindar ke tempat yang tidak berduri atau aku langkahi, atau aku mundur". Rasulullah SAW pun bersabda: "Itulah taqwa".

Untuk lebih jelas pengertian taqwa terutama aplikasinya dalam kehidupan, sebuah hadith dalam Sahih Muslim meriwayatkan seperti berikut: Sahabat Jabir r.a telah berkata: "Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah SAW. Tiba-tiba datang sekelompok orang yang tidak berpakaian sepatutnya dan kelihatan kotor, serta memegang senjata. Kebanyakan mereka dari Bani Mudhar, bahkan dapat dikatakan hampir seluruhnya dari Bani Mudhar. Wajah Rasulullah kelihatan sangat prihatin menyaksikan penderitaan dan kefakiran yang menimpa orang-orang tersebut. Lalu Rasulullah SAW keluar, dan memerintahkan kepada Bilal untuk mengumandangkan azan. Sesaat kemudian solatpun didirikan. Setelah selesai, Rasulullah SAW menyampaikan khutbah: "Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya. Dan daripada keduanya Allah memperkembang-biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. 

"Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan mempergunakan namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan peliharalah hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." (QS An Nisaa': 1). 

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari depan." (QS Al Hasyr: 17) 

Mendengar khutbah Rasulullah, banyak diantara para sahabat yang kemudian memberikan sedekah. Ada yang memberikan wang dirham dan dinarnya, ada yang bersedekah baju, gandum, kurma, bahkan ada yang memberikan separuh buah kurma!!! dan ada seorang Ansar yang membawa sekarung bahan makanan sampai dia tak kuat mengangkatnya. Dan akhirnya banyak orang yang datang memberikan sedekah untuk membantu penderitaan kawannya dari Bani Mudhar, sehingga Rasulullah SAW merasa kewalahan (terharu). Lalu Rasulullah bersabda: "Barangsiapa membuat sunnah hasanah (perilaku yang baik) di dalam Islam, maka dia akan mendapatkan pahalanya dan pahala orang-orang yang mengikuti jejaknya tanpa harus mengurangi pahala mereka sedikitpun. Dan barangsiapa membuat sunnah sayyiah (perilaku buruk) di dalam Islam, maka dia akan menanggung dosanya dan dosa orang-orang yang mengikuti jejaknya tanpa harus mengurangi dosa mereka sedikitpun." 

Rasulullah SAW pernah ditanya: "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang cerdas?." Jawab Nabi "Orang yang berfikir (menggunakan akalnya)."  "Lalu siapakah yang baik ibadahnya?" tanya mereka. "Orang yang berfikir(menggunakan akalnya)" Jawab Nabi. "Lalu siapakah yang paling utama?." tanya mereka selanjutnya. "Orang yang selalu berfikir (menggunakan akalnya)" Jawab Nabi kembali. Mereka berkata : "Wahai Rasulullah, bukankah orang yang berfikir itu sempurna akhlaknya, baik tutur katanya, pemurah tangannya dan tinggi kedudukannya?." Nabi SAW menjawab: "Semua itu faktor penyebab kepuasan di dunia, sedangkan di akhirat yang di sisi Tuhan itu hanya bagi orang yang bertaqwa, orang berfikir (menggunakan akalnya) itulah orang yang bertaqwa, sekalipun kelihatannya rendah hidupnya di dunia." 

Semoga dengan memahami makna kata taqwa dan penjelasan serta aplikasinya yang dihuraikan pada dua hadith diatas, mudahan kita akan mampu dan berusaha untuk mencapai darjat at-muttaqiin. InsyaALLAH, Aminn...

Friday, June 24, 2011

7 Kalimah Cinta

Sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa yang hafal dan mengamalkan tujuh kalimah ini akan dimuliakan oleh Allah dan malaikat dan akan diampuni dosa-dosanya walau sebanyak buih di lautan..

1. bismillahhirrahmannirrahim: pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.

2. alhamdulliah: pada tiap-tiap habis melakukan sesuatu.

3. astagfirrullah: jika tersilap mengatakan sesuatu yang buruk.

4. insyaallah: jika ingin melakukan sesuatu pada masa akan datang.

5. lahaulawalaquataillahbillah: bila tidak dapat melakukan sesuatu yang agak berat atau melihat sesuatu yang buruk.

6. innalillah: jika menghadapi musibah atau melihat kematian.

7. laailaahaillallah: bacalah sepanjang siang dan malam sebanyak-banyaknya.

Amalkanlah selalu moga-moga kita tergolong dikalangan orang yang terpilih oleh Allah swt.

Meminjam kata-kata daripada seorang ukhti Zul'izah Ochi: Seorang muslim sejati tidak pernah terlepas dari tiga keadaan yang merupakan tanda kebahagiaan, yaitu bila dia mendapat nikmat maka dia bersyukur, bila mendapat cubaan maka dia bersabar dan bila berbuat dosa maka dia beristighfar. 

Allahuakbar. Sungguh menakjubkan keadaan seorang muslim. Bagaimanapun keadaannya dia tetap masih bisa menuai pahala.

Wednesday, June 22, 2011

Semakin Bertambah Umur...

Dengan bismillah ku bermula... 

Syukur pada Allah, masih ada sisa hidup sehingga ke hari ini. Meskipun malaikat maut seringkali menjenguk kita, menunggu masa menarik nyawa. Cuma, saatnya, tidak pasti bila.

Semakin bertambah umur,
semakin bertambah amanah
semakin bertambah tanggungjawab
semakin bertambah taklifat.

Semakin bertambah umur,
semakin bertambah ujian
semakin bertambah cabaran
semakin bertambah dugaan.
Semakin bertambah umur,
semakin banyak amalan
semakin banyak dosa
semakin banyak suka dan lara.

Semakin bertambah umur, 
semakin jauh dengan keluarga
semakin jauh dengan rakan dan taulan
semakin jauh dengan keseronokan dan kesenangan.

Kerana apa,
semakin bertambah umur,
masa yang tersisa semakin sedikit,
masa yang dinanti semakin hampir,
masa yang pasti dihadapi oleh semua,
menandakan
semakin dekat diri ini dengan KEMATIAN!


Sediakan bekalan setiap masa, bukan berkala...

Begitu banyak nikmat yang telah Allah kurniakan. Adakah aku tergolong dalam golongan orang-orang yang bersyukur???

"Dan Dia telah memberikan kepadamu segala apa yang kamu mohonkan kepadaNya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)."
(Surah Ibrahim, 14 : 34)

Doakan saya dan kita semua sentiasa berada dalam perlindungan dan jagaan Allah. Moga Allah tetapkan hati kita dalam ketaatan dan ketaqwaan dalam agamaNya.

Saturday, June 18, 2011

Allah S.W.T Menolak 1 daripada 3 Doa Rasulullah S.A.W.

'Amir bin Said dari bapanya berkata bahawa : "Satu hari Rasulullah S.A.W telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah S.A.W sampai di masjid Bani Mu'awiyah lalu beliau masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut solat bersama dengan Rasulullah S.A.W. Kemudian Rasulullah S.A.W berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah S.W.T. Setelah selesai beliau berdoa maka Rasulullah S.A.W pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud : "Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T tiga perkara, dalam tiga perkara itu cuma dia memperkenankan dua perkara saja dan satu lagi ditolak.


1. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya ia tidak membinasakan umatku dengan musim susah yang berpanjangan. Permohonanku ini diperkenankan oleh Allah S.W.T.

2. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh s.a). Permohonanku ini telah diperkenankan oleh Allah S.W.T. 

3. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam). Tetapi permohonanku telah tidak diperkenankan (telah ditolak). 

Apa yang kita lihat hari ini ialah negara-negara Islam sendiri bergaduh antara satu sama lain, hari ini orang Islam bergaduh sesama sendiri, orang kafir menepuk tangan dari belakang, Apakah ini yang ingin kita lihat? Apakah tindakan kita? Tidakkah kita ingin Islam kembali gemilang seperti dahulu? Bangkitlah wahai saudaraku, tegakkan Islam kembali megah, itu amanahmu! Yakinlah dengan janji Allah S.W.T.


Wednesday, June 15, 2011

Muhasabah Cinta


video


Wahai Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrah semua padaMu

Tuhan... Baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Reff. :
Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu

Back to Reff.

✐ Muhasabah Cinta

Album Munsyid: EdCoustic

http://liriknasyid.com



Tuesday, June 14, 2011

Allah Tambah Nikmat Jika Bersyukur

SEDAR atau tidak, hidup manusia di alam fana ini tidak akan terlepas daripada menerima nikmat dan rahmat Allah.

Nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia adalah tidak terhitung banyaknya. Jumlahnya tidak dapat disukat dan ditimbang. Ini jelas dinyatakan Allah dalam firmanNya yang bermaksud: "Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang." (Surah an-Nahl, ayat 18)

Meneliti kejadian dan kurniaan anggota badan utama pada tubuh manusia seperti kaki, tangan, perut, mulut, telinga, hidung dan mata, sudah cukup bagi kita membuat kesimpulan betapa berkuasa, agung dan murahnya Allah serta betapa lemah dan tidak berdayanya manusia yang menghuni alam yang fana ini.

Anggota badan itu pula dijadikan Allah dengan rapi dan lengkap serta dapat bergerak dan berfungsi serentak pada waktu sama. Sambil melihat, kita dapat bercakap, mendengar, menghidu, berjalan dan sebagainya.

Imam Al Ghazali mendefinasikan nikmat itu sebagai: setiap kebaikan, kelazatan dan kebahagiaan serta setiap kebahagiaan hidup 'ukhrawi' (hari akhirat yang kekal abadi).

Secara umumnya, nikmat kurniaan Allah kepada setiap orang manusia dapat dibahagikan kepada dua iaitu:
 
 
  • Nikmat bersifat 'fitri' atau asasi iaitu nikmat yang dibawa oleh manusia ketika dilahirkan lagi.  
  • Nikmat mendatang iaitu nikmat yang diterima dan dirasakan sewaktu-waktu.
Nikmat bersifat fitri atau asasi itu digambarkan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Dan Tuhan melahirkan kamu dari perut ibumu tanpa mengetahui apa-apa pun. Dan (kemudian) diberinya kamu pendengaran, penglihatan dan hati supaya kamu bersyukur - berterima kasih." (Surah an-Nahl, ayat 78)

Sesungguhnya manusia ini dilahirkan ke dunia dalam keadaan bertelanjang bulat. Tetapi dilengkapi dengan alat yang diperlukan dalam perjuangan hidup ini.

Dalam ayat di atas, yang dimaksudkan dengan kelengkapan itu ialah telinga, mata dan hati (akal).

Ada pun nikmat yang kedua iaitu nikmat yang dianggap mendatang itu ialah segala kenikmatan, kelazatan, kebahagiaan dan sebagainya yang diterima oleh manusia dalam perjalanan hidupnya.

Segala sesuatu yang ada dalam alam ini, bermula daripada tanam tanaman sampailah kepada binatang ternakan dan barang logam, semuanya diperuntukkan supaya dapat dimanfaatkan oleh manusia.

Keadaan dan kenyataan ini dijelaskan oleh Allah dengan firman-Nya yang bermaksud: "Dan sebagai tanda untuk mereka ialah bumi yang mati (kering), Kami hidupkan dan Kami keluarkan dari dalamnya buah tanam-tanaman sebahagiannya mereka makan. Dan Kami adakan padanya kebun kurma dan anggur. Dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air supaya mereka dapat makan buahnya. Semua itu bukanlah (hanya) usaha tangan mereka. Mengapa mereka tidak bersyukur." (Surah Yasin, ayat 31 hingga 35)

Lumrahnya, seseorang manusia itu hanya akan menyedari nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya apabila nikmat itu hilang atau terlepas daripadanya (dicabut oleh Tuhan kembali).

Andai kata matanya rosak sebelah, kakinya patah, kakinya kudung atau seumpama itu berlaku ke atas dirinya, maka ketika itu barulah berasa sungguh-sungguh bagaimana nikmatnya mempunyai dua biji mata, mempunyai kaki dan tangan tidak cacat.

Sesungguhnya nikmat kesihatan betul-betul dirasai apabila kita sakit.

Seorang yang berkuasa atau berpangkat akan berasa nikmat memegang kuasa dan pangkat selepas jatuh atau dipecat daripada kekuasaan serta jawatan yang disandangnya hilang.

Seorang hartawan apabila jatuh miskin dan melarat, maka akan terasalah olehnya bagaimana besarnya nikmat kekayaan yang pernah dikecapinya itu.

Oleh itu peliharalah setiap nikmat diperolehi. Bersyukur dan berterima kasihlah kepada Allah Yang Maha Kuasa supaya nikmat itu akan terus dikekalkan-Nya.

Syukur dapat diertikan sebagai: Mengerti bahawa semua nikmat yang ada pada diri seseorang hamba, baik yang lahir mahu pun yang batin, semuanya daripada Allah sebagai pemberian daripada-Nya.

Tanda seseorang itu bersyukur ialah apabila gembira wujudnya nikmat pada dirinya, yang melorongkan jalan untuk beramal ibadat dan mendekatkan diri kepada-Nya.

Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan terima kasih kepada-Nya. Mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan akan membesarkan nikmat sekalipun nikmat itu kecil saja.

Sesungguhnya bersyukur kepada Allah adalah perbuatan wajib ke atas setiap manusia. Ini jelas daripada firman-Nya bermaksud:-

"Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada Nya." (Surah an-Nahl, ayat 144)

Lawan syukur ialah kufur. Seseorang yang menggunakan nikmat ini pada tempat bertentangan dengan tujuan penciptaannya, maka sebenarnya mengkufuri nikmat Allah yang menganugerahkan nikmat itu kepadanya.

Seseorang yang memukul orang lain dengan tangannya, maka orang itu dikira mengkufuri nikmat, sebab tangan yang dijadikan Allah untuk mempertahankan diri daripada perkara yang mengancamnya bukan mencedera atau membinasakan orang lain.

Seseorang itu dianggap tidak menggunakan nikmat matanya kerana mengkufuri nikmat mata apabila menggunakannya untuk melihat wajah perempuan yang bukan muhrimnya.

Mata dijadikan Allah untuk melihat perkara mendatangkan kebaikan bagi agama dan dunia.

Sebab itu mata hendaklah dipelihara daripada melihat perkara yang mendatangkan bahaya dan mudarat.

Sikap syukur pula untuk keuntungan manusia sendiri. Tuhan tidak mendapat apa-apa keuntungan dengan perbuatan syukur yang dilakukan oleh hamba-Nya. Sebaliknya, Tuhan juga tidak akan rugi dengan sikap kufur dan engkar yang ditunjukkan oleh manusia.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: "Barangsiapa yang bersyukur maka hal itu untuk (kebaikan) dirinya sendiri. Dan barang siapa yang engkar maka sesungguhnya Tuhan itu Maha Kaya dan Maha Mulia." (Surah al-Naml, ayat 40)

Orang yang bersyukur jiwanya akan menjadi semakin bersih. Dia akan bertambah dekat kepada Tuhan dan semakin sedar bahawa nikmat itu adalah kurniaan Illahi yang perlu dipergunakan untuk kebaikan sesama manusia.

Seseorang yang memperolehi kekayaan, maka kekayaan itu hendaklah digunakan pula untuk keperluan kebaikan seperti membantu fakir miskin, menolong orang yang memerlukan dan sebagainya.

Orang berpangkat dan berkuasa hendaklah melakukan kebaikan terhadap orang di bawah atau rakyat jelata.

Sesungguhnya bagi orang bersyukur maka nikmat yang diperolehinya semakin bertambah. Ini jelas dinyatakan Allah dengan firman-Nya yang bermaksud: "Jika kamu bersyukur maka Aku (Tuhan) akan menambah (nikmat) itu kepada kamu. Dan jika kamu engkar maka sesungguhnya seksa Aku amat pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Sedar akan pentingnya sikap ini, maka syukurilah nikmat kurniaan Allah kepada kita baik nikmat lahir atau batin.

Mudah-mudahan dengan berbuat demikian, maka nikmat itu akan kekal berterusan bersama kita dan hidup kita pula akan mendapat keredaan Allah baik di dunia atau akhirat.

Sunday, June 12, 2011

Kata-Kata Ulama Agung

KATA-KATA DARI IMAM AL-GHAZALI:

"Pelajarilah ilmu. Mempelajarinya kerana ALLAH S.W.T adalah taqwa. Menuntut ilmu adalah ibadah. Mengulanginya adalah tasbih. Membahaskanya adalah jihad. Mengajar orang yang tidak tahu itu sedekah. Memberitahu kepada keluarga adalah usaha mendekatkan diri kepada Tuhan. Ilmu itu teman waktu sedirian dan kawan waktu kesepian, penunjuk jalan kepada agama, penasihat yang sabar waktu suka dan duka. Seorang menteri di tengah-tengah teman sejawat, seorang keluarga di tengah-tengah keterasingan dan sinar jalan ke syurga. Dengan ilmu beberapa kaum diangkat darjatnya oleh ALLAH S.W.T, lalu dijadikan mereka pemimpin, ketua  dan penunjuk pada jalan kebaikan. Jejak mereka diikuti, perbuatan mereka diperhatikan. Malaikat menaungi penuntut ilmu dengan sayapnya. Seluruh makhluk sama ada yang basah dan kering meminta ampun bagi dosa mereka (ilmuwan), hatta ia haiwan di laut, binatang buas dan binatang jinak di darat, termasuk langit dan bintang-bintangnya."

Monday, June 6, 2011

Kasih Sayang

Dunia ALLAH jadikan cantik pada pandangan mata. Ia dihias dengan pelbagai nikmat, keindahan dan kebahagiaan - rumah-rumah kediaman, taman-taman bunga, makanan yang lazat-lazat, anak-anak yang menghiburkan dan lain-lain. Antara seorang dengan seorang yang lain tidak sama kadar dunia yang dapat dimilikinya. Ada yang dapat memiliki rumah besar, pangkat tinggi, memperolehi sanjungan manusia, boleh bertukar ganti pakaian selalu, makan makanan yang enak-enak. Tapi ada juga yang hanya duduk di pondok buruk, dipandang hina oleh orang dan makan sekadar untuk mengalas perut.

Apakah maksud ALLAH tidak memberi dunia sama banyak dan sama rata kepada setiap hamba-Nya? Walhal tentulah setiap hamba itu mendapat kasih sayang ALLAH, kerana setiap yang ALLAH jadikan, ALLAH kasih melebihi kasih seorang ibu kepada anaknya. Tapi takdir yang ditentukan ALLAH tetap tidak sama, sesetengahnya di luar kehendak hamba itu sendiri.

Kasih sayang ALLAH akan dimiliki oleh hamba-hamba-Nya yang dapat tunduk kepada takdir ALLAH. Sama ada dia ditakdirkan untuk jadi orang yang senang atau sebaliknya ditakdirkan mejadi miskin, dia tetap rela dan tidak merungut suatu apa pun. Dia tahu bahawa sesungguhnya ALLAH tidak menzalimi hamba-Nya. Kalaulah takdir yang ditentukan itu baik, maka di sinilah peluangnya untuk menjadi hamba yang bersyukur, yang dapat memanfaatkan kebaikan yang diperolehinya itu bukan untuk dirinya seorang, tapi dapat dirasai sama oleh orang lain.

Kalaulah ditakdirkan kaya, dengan kekayaan itu dia akan dapat membantu orang susah, anak-anak yatim, janda, fakir miskin serta melakukan lain-lain kebajikan. Sehingga dia menjadi lebih hampir kepada ALLAH dan mendapat rahmat serta kasih sayang-Nya.

Sebaliknya orang yang ditakdirkan menerima nasib yang kurang baik, tetapi dia sanggup bersabar walaupun dalam seribu kepahitan, maka ALLAH akan balas dengan rahmat-Nya. ALLAH akan hiburkan dengan dikurniakan kekayaan hati. Hati yang kaya adalah hati yang sentiasa berbahagia dengan kebaikan. Hati sentiasa merasa ringan menghadapi kesusahan atau kemiskinan. Nasib malang yang menimpa dirinya sedikitpun tidak menyusahkan hatinya. Sebaliknya segala kejadian dan keadaan yang ada itu makin membuat dia terus bergantung hati bertawakkal dan menyerah diri pada ALLAH.

Dia cukup yakin ALLAH itu Maha Bijaksana. Maha Suci ALLAH dari tersilap dalam menentukan takdir dan perjalanan hidup hamba-Nya. ALAH Maha Adil , oleh itu apa sahaja nasib yang menimpa dirinya tentulah hasil daripada sifat adil-Nya. Justeru itu akan membuatkan hatinya makin redha, merendah diri dan semakin hampirlah hatinya dengan ALLAH.

Seorang hamba yang tidak redha dengan takdir atau nasib yang menimpa dirinya, seolah-olah dia tidak yakin pada keadilan dan kebijaksanaan ALLAH. Seolah-olah menganggap ALLAH tidak tahu kehendak hatiya. Walhal kerana Maha Tahunya ALLAH, yang ilmu-Nya meliputi segala sesuatu, maka ALLAH memutuskan takdir yang sebaik-baiknya untuk hamba-Nya. Walaupun pada pandangan si hamba takdir itu tidak baik, tetapi kalau dia betul-betul berserah diri pada ALLAH dia akan mendapat keuntungan daripada takdir itu.

Sebaliknya kalau seseorang yang direzeki dengan takdir yang baik dalam hidupnya, selalunya membuatkan dia terlalu gembira, bangga dan hingga dia lalai, hingga lupa kepada Yang Memberi. Maka takdir yang dianggap baik itu sebenarnya sudah tidak menguntungkan dirinya. Dia sudah berada jauh dari ALLAH disebabkan kelalaiannya.

Janganlah merasa iri hati atau dengki melihat nasib atau takdir yang baik yang ditentukan ALLAH terhadap orang lain sehingga kita berusaha untuk mendapatkannya. Walhal apa diuntukkan ALLAH kepada seorang hamba-Nya itu pasti tidak sama dan tidak dimiliki oleh hamba-Nya yang lain, yang tidak tersenarai sebagai penerima takdir itu meskipun dia berusaha bermati-matian untuk mencapai dan mendapatkannya.

Apa yang patut dilakukan oleh setiap hamba ialah redha menerima segala ketentuan atau takdir ALLAH sama ada yang dianggap baik atau tidak. Kerana pada hakikatnya setiap yang ditakdirkan dan ditentukan ALLAH itu adalah baik. Cuma yang membezakan baik atau tidak itu ialah hawa nafsu manusia. Mana-mana yang sesuai dengan kehendak nafsu dan hatinya dianggap baik. Sebaliknya yang menyusahkan dan nafsunya merasa tidak seronok, dikatakan tidak baik.

Janganlah kita mengukur ikut hawa nafsu yang tidak lain hanya mengajak kita menjadi engkar dan memusuhi ALLAH. Ikutilah nilaian dan ukuran ALLAH.

Kalau kita dapat menghadapi setiap takdir dengan banyak berserah, berharap dan takut pada kemurkaan-Nya tentulah setiap takdir itu akan menguntungkan kita. Untungnya kerana ia boleh menghampirkan diri kita dengan ALLAH.

Thursday, June 2, 2011

Kelebihan Bulan Rejab

Assalamulaikum sahabiah sekalian;

Esok, insyaALLAH kita dah nak masuk bulan Rejab. Oleh itu bersama-samalah kita memanfaatkan kelebihan bulan Rejab dan mari bersedia untuk bertemu dengan kedatangan Ramadhan.
 
(3 Jun 2011 – 1 Rejab 1432) 

Diriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda:
"Ketahuilah bahawa bulan Rejab itu adalah bulan ALLAH, maka barangsiapa yang berpuasa satu hari dalam bulan Rejab dengan ikhlas, maka pasti ia mendapat keredhaan yang besar dari ALLAH SWT. 

---> Barangsiapa yang berpuasa dua hari dalam bulan Rejab mendapat kemuliaan di sisi ALLAH SWT. 

---> Barangsiapa berpuasa tiga hari dalam bulan Rejab, maka ALLAH akan menyelamatkannya dari bahaya dunia, seksa akhirat, dari terkena penyakit gila, penyakit putih-putih di kulit badan yang menyebabkan sangat gatal dan diselamatkan dari fitnahnya syaitan dan dajjal.

---> Barangsiapa berpuasa tujuh hari dalam bulan Rejab, maka ditutupkan tujuh pintu neraka Jahanam. 

---> Barangsiapa berpuasa lapan hari dalam bulan Rejab, maka dibukakan lapan pintu syurga baginya. 

---> Barangsiapa yang berpuasa lima hari dalam bulan Rejab, permintaannya akan dikabulkan oleh ALLAH SWT. 

---> Barangsiapa berpuasa lima belas hari dalam bulan Rejab, maka ALLAH mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan menggantikan kesemua kejahatannya dengan kebaikan, dan barangsiapa yang menambah (hari-hari puasa) maka ALLAH akan menambahkan pahalanya."

Sabda Rasulullah SAW: "Pada malam Mikraj, saya melihat sebuah sungai yang airnya lebih manis dari madu, lebih sejuk dari ais dan lebih harum dari minyak wangi, lalu saya bertanya Jibril as: "Wahai Jibril untuk siapakah sungai ini?" Berkata Jibril as: "Ya Muhammad sungai ini adalah untuk orang yang membaca selawat untuk engkau dibulan Rejab."

Dalam sebuah riwayat Tsauban bercerita: "Ketika kami berjalan bersam-sama Nabi SAW melalui sebuah kubur, lalu Nabi berhenti dan Baginda menangis dengan amat sedih, kemudian baginda berdoa kepada ALLAH SWT. Lalu saya bertanya Rasulullah SAW: "Ya Rasulullah SAW, mengapakan anda menangis?" Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Tsauban, mereka itu sedang diseksa dalam kubur mereka, dan saya berdoa kepada ALLAH, lalu ALLAH meringankan seksa ke atas mereka." Sabda Rasulullah SAW lagi: "Wahai Tsauban, kalaulah sekiranya mereka ini mahu berpuasa satu hari saja dalam bulan Rejab, dan mereka tidak tidur semalam sahaja di bulan Rejab nescaya mereka tidak akan diseksa dalam kubur." Tsauban bertanya: "Ya Rasulullah SAW, apakah hanya berpuasa satu hari dan beribadah satu malam dalam bulan Rejab sudah boleh mengelakkan dari seksa kubur?" Sabda Rasulullah SAW: "Wahai Tsauban, demi ALLAH Zat yang telah mengutus saya sebagai nabi, tiada seorang muslim lelaki dan perempuan yang berpuasa satu hari dan mengerjakan solat malam sekali dalam bulan Rejab dengan niat kerana ALLAH, kecuali ALLAH mencatatkan baginya seperti berpuasa satu tahun dan mengerjakan solat malam satu tahun."

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya Rejab adalah bulan ALLAH, Sya'ban adalah bulan aku (Rasulullah SAW) dan bulan Ramadhan adalah bulan umatku."

Sabda Rasulullah SAW: "Semua manusia akan berada dalam keadaan lapar pada hari kiamat, kecuali para nabi, keluarga nabi dan orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab, Sya'ban dan bulan Ramadhan. Maka sesungguhnya mereka kenyang serta tidak ada rasa lapar dan haus bagi mereka."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Post

get this widget here

Tadabbur i-Quran

Hadis Pilihan Hari Ini

Like & Share in 3 seconds!

Share