أصحاب

Monday, August 29, 2011

Selawat Syifa'

video



Terjemahan:
“Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, Muhammad s.a.w. yang menyembuhkan hati-hati, penawarnya dan kesejahteraan badan, kesembuhan juga cahaya penglihatan dan berilah rahmat keberkatan dan kesejahteraan atas keluarga dan sahabatnya”

Selawat syifa' ini antara fadhilatnya apabila menjadi amalan harian adalah menyembuhkan ataupun mengurangkan kesakitan yang dihadapi, dengan izinNya, Insya-Allah.

Selain mendapatkan rawatan secara moden, tak salah kita mencuba rawatan secara rohani kerana pada asasnya, kita semua hanyalah makhluk Allah yang lemah. Tiada tempat lain yang lebih baik untuk mendapatkan pertolongan selain daripadaNya, Tuhan Sekalian Alam.
Kalau tak sakit, tak rasa nikmat sihat... Macam tu lah kita selagi bergelar manusia ni, mudah sangat lupa, mudah sangat lalai kalau sesekali tidak diketuk mungkin berpanjangan lupanya.. Tapi apa-apa pun kalau sudah jatuh kena bangun semula, rancang semula, betulkan kesilapan lalu supaya keadaan menjadi lebih baik InsyaAllah, sentiasa yakin bahawa apa yang berlaku adalah dalam ketentuan Allah dan Dia lebih tahu itu adalah yang terbaik untuk kita, ujian untuk kita dan orang-orang di sekeliling kita juga, ada hikmahNya...
Akhir kalam..jagalah kesihatan..sihat itu nikmat..

Friday, August 26, 2011

Nikmat disebalik erti SABAR

Allah Taala menganjurkan kita supaya bersabar. Firman-Nya (mafhumnya): "Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (melakukan taat dan menghadapi musibah), teguhkanlah kesabaran kamu, tetapkanlah kewaspadaan serta siap sedia dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung (meraih syurga dan bebas dari neraka"(3:200).

DALAM konteks menghadapi ujian atau musibah atau malapetaka, seseorang hamba Allah itu, insyaAllah, akan berjaya mengekalkan kesabarannya, jikalau dia sentiasa mengingati atau mengekalkan kesedaran tentang hakikat atau hikmah musibah itu, atau jika hamba Allah itu sentiasa menaruh sangkaan baik terhadap Allah Taala. Malah, dengan yang demikian, kesabaran dan keimanannya akan bertambah teguh.

Sebagai perbandingan tentang hakikat musibah itu, kita katakan ada seorang bapa yang melarang keras anaknya memakan sejenis makanan yang amat digemari oleh anaknya itu. Sebaliknya sang bapa itu memaksa anaknya memakan makanan biasa daripada bahan yang murah, walaupun dia cukup mampu membeli makanan istimewa yang menjadai kegemaran anaknya itu. Apakah penerimaan atau reaksi sang anak terhadap tindakan bapanya itu?
Dan apakah kata kita terhadap sang bapa itu? Mungkin ramai antara kita akan mengatakan sang bapa itu kedekut, bakhil, tidak bertimbangrasa dan sebagainya. Akan tetapi kita tidak harus menuduh sebarangan kepada sang bapa itu sebelum kita tahu apa tujuan dia bertindak demikian. Kita harus mencari sebab-musababnya.

Inilah tindakan wajar orang yang bersabar. Demikianlah antara cara kita berhadapan dengan keadaan yang tidak menyenangkan kita atau apabila menerima cubaan atau musibah yang ditakdirkan oleh Allah Taala ke atas diri kita. Kita tidak harus terus melenting marah atau kesal mengikut arus perasaan atau rangsangan nafsu dan syaitan, kerana kita tidak tahu rahsia hakikat dan hikmah di sebalik takdir itu.

Bandingannya, katakan kita tahu, tujuan sang bapa tersebut bertindak demikian adalah kerana anaknya itu sedang mengidap suatu penyakit yang mengikut doktor, sang anak itu akan menghadapi bahaya apabila memakan makanan kegemarannya itu.

Sekarang apa kata kita? Tidakkah tuduhan-tuduhan terhadap sang bapa tadi tergugur dengan sendirinya? Dan, sang anak itu pula, apa bila mengetahui tujuan bapanya itu, apakah wajar memarahi bapanya atau berkecil hati atau menyesali tindakan bapanya itu? Sekarang tentulah kita akan mengatakan, sang bapa itu adalah seorang bapa yang bertanggungjawab dan anaknya pula tidak sepatutnya menyesali tindakan bapanya yang demikian. Katakan lagi, sang bapa membawa anaknya itu ke hospital, lalu ditahan di wad hospital itu. Maka itu terpenjaralah sang anak di hospital, terpaksa berpisah dengan keluarga dan kawan-kawanya. Selain itu dia terpaksa minum dan menelan ubat-ubat yang pahit dan disuntik. Rawatan seterunya ialah pembedahan.

Pada zahirnya, sang anak itu menderita terseksa, tetapi apabila diyakini, bahawa 'seksaan' itu adalah untuk menyelamatkannya daripada ancaman dan seksaan sebenar yang berpanjangan daripada penyakit yang dihidapinya itu, maka 'seksaan' sementara itu seharusnya diterima dengan hati terbuka, penuh rela, tenang, dan sabar.

Demikianlah semestinya penerimaan kita terhadap musibah atau ujian daripada Allah Taala. Sebenarnya penyakit itu sendiri merupakan suatu cubaan atau musibah. Melalui penyakit, kita diuji oleh Allah Taala sejauh mana kesabaran dan keimanan kita, sejauh mana dan bagaimana usaha atau ikhtiar kita merawatinya, sama ada dengan cara yang bersendikan tawakal dan tafwid atau melibatkan perbuatan syirik, yakni bergantung kepada yang lain daripada Allah dan melakukan perkara-perkara mungkar yang lain.

Dan, kalau ditakdirkan usaha rawatan itu gagal dan penyakit itu bertambah tenat, maka itu adalah ujian yang lebih besar, khususnya kepada pengidap penyakit itu. Kalau penyakit itu akhirnya membawa maut, maka ujian itu melibatkan keluarga pula. Hikmah dan hakikat di sebalik apa yang ditakdirkan Allah itu, sama ada yang baik ataupun yang buruk, kita tidak tahu. Sebab itu kita perlu bersabar menerima dan menanggungnya. Kita sebagai hamba Allah hendaklah menghadapinya dengan hati yang tenang, penuh kerelaan, penuh kesabaran; di samping berikhtiar mengatasinya dengan seberapa daya mengikut kemampuan kita sebagai manusia, hamba Allah.

Untuk mewujudkan kesabaran, kita hendaklah sentiasa menyedari, bahawa kadar dan waktu berlakunya kesusahan atau musibah itu adalah di bawah takdir Allah Taala Yang Maha Berkuasa. Ketetapan kadar itu tidak bertambah atau berkurang dan waktunya tidak terdahulu atau terkemudian. Dan, untuk memelihara atau mengekalkan kesabaran itu pula, kita hendaklah sentiasa mengingati bahawa kesabaran itu bakal dibalas dengan ganjaran kebajikan dan pahala yang disimpan khas oleh Allah Taala.

Demikianlah, kesabaran itu merupakan ubat yang paling pahit tetapi paling mujarab. Yakinlah, keberkatan daripada kesabaran itu membawa manfaat kepada kita sekali gus menolak mudarat daripada kita. Sebagai ubat, pahitnya hanya sesaat, tetapi manisnya berpanjangan.

"Ya Allah..berikanlah aku kesabaran dalam menanggung sakitku ini..." aminn...

Monday, August 22, 2011

Kepentingan Sirah Nabi dalam Memahami Islam

Rujukan : Fiqh Sirah oleh Dr. Said Ramadhan Al-Buthi

Tujuan kita mempelajari Sirah Nabi adalah bukan sekadar untuk mengetahui kejadian-kejadian bersejarah yang telah dilalui oleh nabi kita Muhammad SAW sebagaimana kita mempelajari teks-teks sejarah lain.

Di sana terdapat tujuan-tujuan yang lebih penting untuk kita mempelajari sirah Rasulullah. Apabila menghayati sirah nabi, seseorang islam itu akan lebih memahami hakikat Islam. Ini kerana hakikat Islam itu sendiri keseluruhannya terkandung dalam keperibadian Rasulullah dan seluruh perjalanan hidupnya.

Di antara objektif utama kita menghayati sirah Rasulullah boleh disimpulkan seperti berikut:

1. Memahami syahsiah peribadi Nabi Muhammad SAW melalui riwayat hidupnya dan suasana yang dialami dalam hidupnya. Dengan menghayati syahsiah dan kehidupan ini dapat menguatkan keyakinan kita bahawa Nabi Muhammad bukan sahaja pintar di kalangan kaumnya bahkan telah dibantu oleh bantuan wahyu yang telah diturunkan kepadanya dari sisi Allah yang Maha Kuasa.

2. Supaya manusia seluruhnya dapat menjadikan Nabi sebagai tauladan ataupun role model yang paling utama dalam setiap aspek kehidupan. Menjadikan kehidupan rasul sebagai ikutan tanpa ragu dan syak. Kalaulah manusia mencari seseorang yang boleh menjadi role model lengkap dalam setiap aspek kehidupan, mereka tidak akan menjumpainya melainkan ianya wujud dalam diri Nabi Muhammad. Oleh sebab itulah Allah telah menyifatkan baginda sebagai Qudwah Hasanah (contoh tauladan) bagi seluruh manusia sebagaimana firman Allah dalam surah Al Ahzab ayat ke 21:


لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

3. Penghayatan sirah Nabi memudahkan kita memahami dan menghayati kandungan kitab suci (al-Quran) dan dapat merasai kemanisan dan kehendak al-Quran. Ini kerana terdapat banyak ayat-ayat al-Quran yang menceritakan kejadian dan peristiwa yang telah dialami oleh Rasulullah dan bagaimana Rasulullah menghadapinya.

4. Seorang Muslim dapat mengumpul sebanyak mungkin maklumat yang tepat berkaitan dengan pengetahuan islam. Maklumat dan pengetahuan ini meliputi setiap aspek yang berkaitan aqidah, hukum hakam, akhlak dan seebagainya.

5. Menjadi contoh tauladan yang paling baik kepada pendidik dan juga pendakwah Islam dalam mendidik dan menyebarkan dakwah kepada manusia. Rasulullah adalah seorang guru, pemberi nasihat dan pendidik yang tak kenal erti jemu.Baginda telah mencuba pelbagai cara yang berkesan untuk menyampaikan dakwahnya.

Sesungguhnya kehidupan Rasulullah seluruhnya adalah role model ataupun tauladan yang perlu kita sanjung.

1. Baginda adalah merupakan contoh yang jelas sebagai seorang remaja dan pemuda yang baik dan berakhlak mulia sehinggalah beliau digelar al amin di kalangan kaumnya.

2. Pendakwah atau pendidik yang paling cemerlang dalam menyeru umat manusia kepada Allah Taala dengan menggunakan konsep hikmah dan mauizah hasanah (peringatan dengan cara yang baik).

3. Seorang yang tidak pernah putus asa dalam dakwahnya. Telah mencuba pelbagai cara dan jalan untuk menyampaikan risalahnya.

4. Seorang ketua negara yang memegang kuasa politik yang paling tinggi. Mentadbir setiap urusan politik dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

5. Seorang suami mithali dalam pergaulan dengan keluarga.

6. Seorang ayah yang pengasih yang teliti dalam membezakan hak dan kewajipan bagi setiap isteri dan anak-anak.

7. Seorang ketua perang yang mahir dan penuh dedikasi.

8. Sebagai seorang muslim yang teliti dan adil dalam beribadat kepada Allah, bergaul dan bergurau dengan keluarga dan sahabat-sahabatnya.

Tidak syak lagi bahawa sesungguhnya penghayatan Sirah Nabi adalah merupakan sesuatu yang amat penting bagi mengangkat martabat manusia dengan menjadikan contoh tauladan dan ikutan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Kita sebagai seorang muslim diwajibkan untuk menyanjung dan mencontohi Rasulullah dalam setiap perlakuan kita seharian kerana akhlak Nabi adalah merupakan akhlak Islam. Dengan mengamalkan akhlak Nabi inilah dapat menjamin kesejahteraan hidup manusia di dunia dan juga di akhirat.

Janganlah kita menjadikan orang lain sebagai contoh ikutan dalam kehidupan kita seharian. Malah lebih teruk penyakit yang melanda umat islam hari ini ialah menyanjung ahli fussak (orang yang banyak buat maksiat pada Allah) sebagai role model dan ikutan. Bahkan mereka langsung lupa kepada junjungan besar Nabi Muhamad sallallahu alaihi wasallam.
 

Friday, August 19, 2011

Antara Sabar dan Mengeluh

Pada zaman dahulu, ada seorang yang bernama Abu Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.

"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain kerana itu pasti dia tidak pernah risau dan bersedih hati."

Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abu Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu?"

Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada waktu itu aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing?"

Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu."

Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihnya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abu Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu?"

Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."

Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan iktibar di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah SWT.

Kerana itu Rasulullah SAW bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi: "Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.” (Riwayat al-Hakim)

Dan sabda Nabi lagi, "Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotong baginya pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Ibnu Majah)

Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah. InsyaALLAH, aminn...

Friday, August 12, 2011

Rabiah Al Adawiyah: Perindu Kecintaan Allah

Rabiah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Beliau dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Beliau lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpan menyeberangi Sungai Diljah dengan menggunakan sampan. 

Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan kekayaan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar meluas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup warak serta zuhud lenyap sama sekali.


Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.

Bapa Rabiah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabiah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabiah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.

Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabiah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.

Marilah kita teliti ucapan Rabiah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:

Ya Allah, Ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!

Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.

Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu. Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabiah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.

Rabiah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:

Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.

Setiap malam begitulah keadaan Rabiah. Apabila fajar menyinsing, Rabiah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:

Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.

Seperkara menarik tentang diri Rabiah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:

Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.

Rabiah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabiah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.

Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:

Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.

Antara syairnya yang masyhur berbunyi:

Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.

Rabiah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:
Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?

Kecintaan Rabiah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.

Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.

Begitulah keadaan kehidupan Rabiah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabiah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!

Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.

Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:

Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.

Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.

Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita.

Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.

Thursday, August 11, 2011

Setiap Kerja Boleh Jadi Ibadah

Allah telah berfirman di dalam Al Quran, surah al-Baqarah ayat 21 yang bermaksud:

"Wahai sekalian manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa."

Seruan ini Allah tujukan kepada semua manusia tidak kira orang Islam, orang yang beriman, orang yang durhaka ataupun orang kafir. Pendek kata, setiap manusia adalah dikehendaki oleh Allah supaya menyembahNya. Adapun menyembah Allah itu bererti mengabdikan diri atau memberi baktinya kepada Allah SWT.

Pengabdian diri ini adalah dikehendaki oleh Allah secara total dan menyeluruh di dalam setiap aspek kehidupan manusia itu. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Az-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud:

"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Aku."

Dalam ertikata yang lain, setiap jin dan manusia ini adalah dijadikan khusus untuk beribadah kepada Allah. Ertinya, apa saja yang dibuat oleh manusia, ia mesti merupakan ibadahnya atau pengabdiaan dirinya atau amal baktinya kepada Allah SWT. Tidak kiralah samada usahanya itu berupa usahanya dalam mencari rezeki, dalam membangunkan rumahtangga, dalam mengatur pendidikan anak-anak, dirinya atau pun keluarganya, dalam mengatur pergaulan masyarakat, dalam berekonomi, berjual beli, dalam berjuang dan berjihad dan dalam apa saja baik dalam tidur atau makan minum kita seharian, semuanya mestilah menjadi ibadah kepada Allah.

Hal ini jelas Allah gambarkan dalam sepotong firmannya yang lain dalam surah Ali Imran ayat 191 yang bermaksud:

"Orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, `Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia belaka'."

Jadi, Allah menuntut dari setiap manusia supaya sentiasa, setiap saat dan ketika memberikan ibadah dan amal baktinya kepada Allah. Kerana itu, haruslah kita mengetahui bagaimana kita hendak mengisi setiap usaha dan ikhtiar kita agar ia menjadi ibadah kita kepada Allah swt.

Ibadah terbahagi kepada tiga: Petama ibadah asas, dan kedua ialah ibadah furu' (cabang) yakni amalan-amalan utama dan yang Ketiga ialah ibadah umum.

Ibadah asas ialah ibadah utama dan penting. Termasuk di dalamnya ialah keenam-enam rukun iman dan kelima-lima rukun Islam. Hukumnya fardhu ain yakni tiap-tiap orang wajib menyakini dan beramal dengannya. Tanpa ibadah asas seseorang itu tidak beriman (kafir).

Ibadah cabang atau ibadah furu' ialah yang berkaitan dengan fardhailull `amal (amalan utama). Diantaranya seperti sembahyang dhuha, sembahyang witir, sembahyang tahajjud, zikir yang tertentu dan lain-lainnya.

Manakala ibadah umum termasuklah semua kegiatan hidup kita yang kita lakukan setiap hari. Bermula dari kita mengatur diri, anak isteri rumahtangga, kampung halaman hinggalah kepada soal-soal pendidikan, ekonomi, masyarakat, politik, persoalan dalam dan luar negeri. Kalaulah semua dapat kita aturkan sebagaimana yang Allah kehendaki maka ia akan jadi ibadah yakni kita akan diberi pahala. Sebaliknya kalau kita cuai mengatur hidup kita tidak mengikut syariat, maka rugilah kita.

Kita hanya dapat pahala dari sembahyang, puasa, zakat, haji, zikir, wirid (fadhailull a'mal) tapi tidak pernah mengutip pahala dari amalan-amalan yang lebih banyak kita buat tiap-tiap hari itu.

Sebenarnya apa saja kerja yang kita lakukan untuk jadi ibadah, ia mesti menempuh lima syarat. Apabila setiap kerja kita, yang kita lakukan menepati kehendak kelima-lima syarat itu, maka ia akan diterima sebagai ibadah, sebagai amal bakti dan sebagai satu pengabdian diri kita kepada Allah SWT. Syarat itu ialah:

1. Niat mesti betul
2. Perkara yang dibuat sah / halal ikut syariat
3. Perlaksanaan mesti betul.
4. Natijah mesti betul
5. Tidak meninggalkan perkara yang asas (ibadah asas).

Supaya lebih difahami saya akan buat satu tamsilan atau ibarat bagaimana sesuatu kerja itu boleh jadi ibadah. Kalau faham tamsil ini maka ribuan kerja lain boleh dikiaskan supaya jadi ibadah. Untuk tamsil ini saya pilih bidang perniagaan sesuai dengan selera masyarakat kita yang sedang sibuk berjuang untuk meninggikan taraf ekonomi melalui bidang ini.

Perniagaan itu luas. Jadi saya bincang tentang berniaga kedai runcit, bagaimana perniagaan itu boleh jadi ibadah:

1. Niat berniaga mesti betul. Misalnya hatinya berkata begini, "Di tempat ini ramai umat Islam, tapi satu pun tak ada kedai runcit. Ini hal fardhu kifayah. Kalau tak selesai ertinya semua umat Islam di sini menanggung dosa. Kalau begitu aku nak buka kedai runcit." Itu adalah niat yang betul, yang tidak betul hatinya berkata, "Aku nak berniaga supaya untung, bila untung aku nak ek," Mana boleh niat nak sombong. Itu niat tak betul.

2. Perkara yang diniagakan sah atau halal menurut Islam, seperti gula, garam, asam, kicap dan keperluan-keperluan lain. Barang-barang yang tidak boleh jual ialah todi, "anchor beer", "tiger beer", dadah, tiket loteri, rokok dan lain-lain.

3. Perlaksanaan atau pengendalian kedai hendaklah dijalankan mengikut syariat. Timbangan mesti betul, sukatannya pun betul, tidak ada penipuan dan tidak ada unsur-unsur riba.

4. Natijah mesti betul. Hasil keuntungan mestilah disalurkan kepada kehendak syariat. Bila mendapat untung, cukup haul maka keluarkan zakat. Bantu fakir miskin, derma masjid dan surau, korban untuk jihad fisabilillah dan sebagainya. Natijah yang tidak betul ialah digunakan keuntungan dari perniagaan itu ke meja judi, ke tempat-tempat disco, kelab-kelab malam, ke tempat hiburan dan lain-lain lagi.

5. Berniaga jangan sampai tidak sembahyang. Mentang-mentang hendak menegakkan fardhu kifayah, fardhu ain tak payah. Mana boleh fardhu ain tak payah, ia lebih utama daripada fardhu kifayah. Ertinya fardhu ain lebih utama dari fardhu kifayah. Orang yang berniaga tapi tak sembahyang, tidak akan dapat pahala apa-apa. Perniagaan yang diaturkan oleh orang-orang yang tak sembahyang tidak diterima sebagai ibadah di sisi Allah. Sebaliknya seorang yang berniaga mengikut syariat dengan menunaikan kelima-lima syarat itu dianggap ia telah berbakti, beribadah dan mengabdikan diri ke pada Allah swt.

Kalau sepuluh jam dia berniaga maka sepuluh jam pulalah dia dalam beribadah, yakni sepuluh jam dia diberi pahala. Kalaulah ada dalam masa yang sama seorang lain beriktikaf di masjid, sembahyang sunat, baca Quran, zikir, wirid, maka di sisi Allah si peniaga itu adalah lebih baik daripada orang yang beriktikaf kerana orang berniaga tidak boleh menyesal atau rasa bersalah, sebab dia berkedai tidak dapat beriktikaf. Sebab orang yang di dalam masjid dia beramal untuk dirinya sedangkan orang yang berkedai itu berkhidmat untuk orang lain.

Islam memandang mulia kepada orang yang berbuat amal untuk masyarakat. Sabda baginda yang bermaksud:

"Sebaik-baik manusia ialah manusia yang banyak manfaatnya pada manusia."

Daripada contoh usaha ikhtiar yang menempuh 5 syarat ini, maka bolehlah kita kiaskan dengan lain-lain usaha ikhtiar kita, seperti menyusun rumahtangga, berpendidikan, berpolitik, berjuang dan berjihad dan lain-lainnya. Di situ nanti kita akan dapat menilai yang mana kalau seluruhnya tidak menempuh 5 syarat, ia tidak jadi ibadah.



p/s buat diri sendiri dan sahabat2 semua: makan biar berpada-pada janji ibadah berganda-ganda. :-)

Friday, August 5, 2011

Apabila Mukmin/Mukminah Jatuh Cinta..

Cinta..fitrah insan..sangat indah..amat asyik..Allahu Rabbi..
Namun, disebalik sebuah kisah cinta itu, terselit secalar kegelisahan dan kebimbangan di hati seorang mukmin. Tatkala hati suci itu diketuk oleh cinta seorang yang tidak halal buat dirinya, pasti hatinya penuh rasa getar dan takut.

Pelik bukan? Mana mungkin seseorang itu apabila jatuh cinta, hatinya penuh dengar onar-onar kedukaan dan kesedihan. Sepatutnya senyuman yang paling manis terukir dibibir dan kegembiraan melakar indah pada wajahnya.Sudah pasti hati ini ingin memberikan sepenuh kasih dan sayang kepada dirinya. Ingin sekali merinduinya sentiasa, ingin sekali bersua muka dengannya, lantaran mabuk terkena panahan jarum-jarum cinta. Nikmat bukan apabila terkena haruman cinta?

Mukmin itu cintanya bulat kepada Allah, Seseorang apabila sudah tenggelam dengan kedalam lautan cinta Allah, pasti dirinya keluh kesah apabila hatinya dicuri oleh seorang hamba yang tidak halal baginya. Mana mungkin hatinya bisa tenang dan tenteram apabila diganggu oleh embun-embun rindu kepada si dia. Mana mungkin Mukmin itu masih mampu tersenyum saat cintanya kepada Allah disirami dengan racun dan duri cinta yang tidak halal untuknya.

Tiada senyuman bahagia terukir dibibirnya, tiada rona-rona malu melakar diwajahnya, tiada ketenangan  pada raut wajahnya, Yang ada hanyalah ketakutan yang teramat sangat apabila cintanya kepada Allah mula diracuni, Yang ada adalah malam-malam yang penuh dengan airmata penyesalan. Cintanya tidak lagi sesuci embun pagi apabila rindu mula mendiami dan berlegar-legar di dalam hatinya, perlahan-lahan rindu itu menghakis kesucian cinta Ilahi yang gagah terbina dulu.

Bukan!! Bukan cinta dan rindu itu yang dinantikan, bukan harapan untuk sentiasa ada dihatinya, Tiada kata-kata rayuan yang dipinta, Yang ada adalah kesakitan yang amat dalam, keperitan yang amat tajam, Kesedihan yang amat terperi seakan-akan menikam-nikam.

Alangkah kasihan mukmin itu. Ketenangan yang dimiliki dulu dirampas, kebahagiaan dulu dihakis-hakis lebur bagaikan debu. Maka bersabarlah duhai Mukmin, mintalah Allah untuk membersihkan hatimu dari kepalsuan cinta yang tidak halal untukmu. Teruskanlah untuk mematikan rasa itu dengan menanam sedalam-dalamnya cinta kepada Allah.

Usahlah dikau bersedih jika kau kehilangan dirinya kerana menuju ketaqwaan kepada Allah, pasti pengorbanan yang dikau lakukan berbuah hasil. Pasti Allah menjanjikan untuk dirimu seorang insan yang juga bertaqwa untuk menjadi peneman hidupmu kelak, dan sudah pasti insan itu adalah yang terbaik untuk dirimu. Dan pasti si dia akan menyayangi dirimu kerana Allah, merinduimu dengan penuh rasa kasih kepada Allah. Maka saat itulah kamu bertemu dengan kebahagiaan yang halal untukmu. Yakinlah pilihan Allah itu sentiasa menunggu dirimu. Pasti menunggu dengan penuh rasa sabar untuk menanti saat dua hati mula bersatu. Biarlah Allah yang tahu betapa dia terlalu menyayangi dirimu dan biarlah Allah menjadi saksi dan perantaraan buat kamu dan dia.

“Ketahuilah, walau jutaan tangan yang datang  menghalang kamu dan dia untuk bersatu, akan tetapi jika Allah telah takdirkan si dia untuk kamu, pasti Allah akan satukan kamu walaupun pahit dan payah. Dan ketahuilah jua, walau berjuta tangan yang datang untuk satukan kamu dan dia, akan tetapi jika Allah takdirkan dia bukan untuk kamu, pasti kamu tidak akan bersatu, maka dengan itu perbanyakkan berdoa agar Allah memilih dia untuk kamu, dan apabila Allah sudah memilih dia untuk kamu, maka bersyukurlah dan terimalah dengan hati yang penuh dengan keikhlasan dan keredhaan, kerana dia adalah pilihan dari Allah.. Terima kasih Allah ”




p/s : taujihat dari seorang kakak yang sangat memahami diri ini.. credit thanks a lot to ukhti Zulizah Ochi.. Moga menjadi renungan buat sahabat-sahabat di luar sana juga

~ "Tika titis air mata jatuh ke bumi, biarlah hanya Allah yang mengetahui, kerana hanya Dia penyembuh luka, pemberi bahagia kepada hati dan naluri. Sedikit yang bermanfaat lebih baik daripada banyak yang melalaikan. Ujian Allah datang kerana kasihNya pada hambaNya, agar iman terus meningkat, dan jiwa lebih akrab denganNya.. Moga lembayung rahmat & redhaNya sentiasa menaungimu sahabatku. Tabahkan hati dalam menghadapi segala cubaan dan dugaan Allah, kerana setiap dugaan itu pasti ada hikmahnya."~

Monday, August 1, 2011

Allah SWT Larang Sikap Boros

BERUSAHA mencari rezeki halal dan membelanjakannya bagi memenuhi keperluan hidup yang selesa dan sempurna adalah antara ibadat yang besar ertinya dalam kehidupan seseorang Muslim.

Kehidupan yang baik dan selesa kadang-kadang dikurniakan Allah sebagai balasan awal terhadap keimanan dan ketaatan hamba-Nya.

Demikian juga penderitaan dan kesengsaraan hidup, kadang-kadang adalah balasan yang disegerakan di dunia bagi membolehkannya menerima nikmat sepenuhnya di akhirat tetapi ada juga penderitaan itu akibat kelemahan iman terhadap kekuasaan Allah dan berleluasanya kemungkaran dalam kehidupannya.

Hakikat ini dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud:
"Sesiapa yang mengikuti petunjuk daripada-Ku, nescaya dia tidak akan sesat dan tidak pula akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit."(Surah Al-Taha: ayat 123-124)

Di samping unsur kerohanian, Islam juga mengakui bahawa kebendaan turut berfungsi memberi keselesaan kepada manusia. Justeru, Islam menghalalkan kita mengambil makan minum yang lazat, memilih tempat dan kediaman yang memenuhi kehendak dan cita rasa, memiliki kenderaan yang cantik dan pasangan hidup yang damai dan tidak mendatangkan masalah.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Empat perkara bakal mendatangkan kebahagiaan: isteri yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa. Empat perkara yang mengundang kekacauan: isteri yang buruk akhlak, jiran yang jahat, kenderaan yang buruk dan rumah yang sempit."

Bagi mengekalkan keselesaan dan kebahagiaan di dunia, Islam juga menolak beberapa tabiat buruk yang boleh mengancam kesejahteraan hidup dan menukarnya dengan sekelip mata daripada senang kepada susah, daripada hidup mewah kepada menderita dan papa kedana.

Antara tabiat buruk yang mengancam kesejahteraan umat ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.
Al-Quran mengingatkan manusia dua perkara penting melalui dakwah dan Rasul, iaitu bahaya kehidupan mewah dan tabiat sukakan pembaziran. Firman Allah SWT bermaksud:
"Dan orang yang tidak melarang perbuatan mungkar di bumi ini menitikberatkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan jadilah mereka orang yang berdosa."(Surah Al-Hud: ayat 116)

Dr Yusuf al-Qardawi mengulas mengenai kemewahan, katanya:
"Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza."

Imam Fakhr al-Razi mengertikan kemewahan yang menjadi punca keruntuhan masyarakat ialah tabiat hidup yang sombong dengan kenikmatan yang dirasai. (Tafsir Al-Kabir, 18/75)

Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam tetapi kehidupan mewah dan sombong adalah suatu cara hidup yang buruk dan dikeji. Sikap sombong dengan nikmat yang diperoleh, sering membawa manusia melupai Allah SWT dan jauh daripada jalan yang benar. Atas dasar mewah dan sombong inilah, Islam mengharamkan penggunaan peralatan emas dan perak, hamparan sutera dan melarang lelaki memakai pakaian yang diperbuat daripada emas dan sutera.

Selain hidup berfoya-foya dengan kemewahan, al-Quran juga menentang amalan boros dan pembaziran harta ketika berbelanja sehingga melampaui batas kesederhanaan sekali pun barang yang dibelanjakan diperoleh daripada sumber yang halal.

Banyak ayat menyentuh mengenai keburukan tabiat ini, antaranya firman Allah SWT bermaksud:
"Sesungguhnya Firaun adalah orang yang sombong takbur lagi terbilang dalam golongan orang yang boros berbelanja."(Surah Al-Dukhan: ayat 31)

Membazir dan boros berbelanja diertikan dengan mengguna harta tanpa muslihat dan kepentingan. Amalan ini juga bertentangan dengan prinsip kesederhanaan yang menjadi sifat utama Ibad al-Rahman (hamba-hamba Allah yang maha penyayang) dan dikehendaki Islam sebagaimana firman-Nya bermaksud:
"Hamba-hamba Allah ialah mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tidak boros dan tidak kedekut, sebaliknya perbelanjaan mereka adalah sederhana."(Surah Al-Furqan: ayat 67)

Al-Quran juga sering menggambarkan keburukan tabiat ini dengan menyatakan beberapa persamaan antara mereka dan syaitan, sebagaimana dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang boros adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."(Surah Al-Israk: ayat 27)

Imam Fakhr al-Razi mengulas erti pembaziran yang diharamkan Islam, iaitu menghabiskan harta pada jalan yang tidak membawa faedah. Ini bermakna jika harta dibelanjakan pada jalan kebaikan dan kepentingan umum, tidak boleh disifatkan sebagai membazir atau boros. (Tafsir Al-Kabir: 20/195)

Pembazir harta dikira sebagai saudara syaitan kerana ada beberapa persamaan, antaranya ialah sama-sama kufurkan nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya dan tidak menggunakan nikmat yang ada untuk faedah umum yang mendatangkan kebajikan.
Pembaziran harta disebut juga dalam hadis Rasulullah dengan Idat al-Mal atau memusnahkan harta benda. Sikap ini termasuk amalan yang dibenci Allah.

Dr Yusuf al-Qardawi dalam bukunya "Dawr al-Qiyam Wa al-Akhlak Fi al-Iktisad al-Islami" memberi contoh pembaziran yang berlaku dalam masyarakat sama ada secara disedari atau tidak, seperti mengabaikan ternakan dan tanaman, tidak menjaga makanan sehingga musnah dan tidak boleh dimakan, membiarkan pakaian kotor sehingga cepat luntur, tidak menyelenggara rumah kediaman, kereta dan barang kepunyaan sendiri sehingga cepat rosak.

Membiarkan lampu menyala tanpa sebarang kegunaan, membiarkan paip air bocor menyebabkan kerugian terpaksa ditanggung, membuang makanan yang masih boleh dimakan pada hal ada orang miskin yang kelaparan, memusnahkan pakaian yang masih baik dan boleh dipakai semata-mata kerana dianggap ketinggalan zaman pada hal ada orang memerlukannya untuk menutup aurat, menaiki kenderaan bersendirian pada hal masih ada beberapa tempat duduk yang kosong dan ada orang yang memerlukannya untuk menuju ke destinasi yang sama dan makan bersendirian padahal dia boleh dikongsi beberapa orang.

Mensia-siakan harta adalah suatu sikap yang bertentangan dengan budaya Islam, termasuklah membiarkan bumi kosong tanpa ditanam sebarang pokok atau tanpa diambil langkah menghidupkan buminya, perusahaan yang tidak ditingkatkan produktivitinya pada hal ia masih boleh ditingkatkan, haiwan disembelih tetapi banyak bahan yang berfaedah terbuang seperti kulit, bulu dan seumpamanya.

Justeru, pembaziran bertentangan dengan budaya Islam. Rasulullah pernah menegur seorang lelaki yang sedang mengheret bangkai kambing untuk dibuang, sabda baginda:
"Mengapa kamu tidak buang kulitnya terlebih dahulu?"

Jawab mereka:
"Kulit kambing ini bangkai yang tidak berguna lagi."

Sabda baginda:
"Bangkai itu hanya haram dimakan, tetapi kulitnya masih boleh dimanfaatkan."
Justeru, harta benda tidak boleh disia-siakan.

Imam al-Bukhari menjudulkan hadis di atas dengan suatu judul yang menarik, iaitu: "Perlukah tempayan arak dipecahkan?"
Maksud beliau ialah jika tempayan arak boleh dibersihkan, tidak ada sebab mengapa ia harus dimusnahkan.

Pemikiran Islam jelas sekali dalam hal ini dan kita percaya hasrat kerajaan supaya mengambil langkah berjimat cermat bagi mengatasi masalah kemelesetan ekonomi akan tercapai sepenuhnya dalam tempoh terdekat jika ajaran Islam ini dihayati dengan sebaik-baiknya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Post

get this widget here

Tadabbur i-Quran

Hadis Pilihan Hari Ini

Like & Share in 3 seconds!

Share