أصحاب

Tuesday, May 31, 2011

Senang Bukan Syarat Tenang

Semoga artikel ini dapat menjadi peringatan kepada kita: 

Dalam abjad rumi, huruf s dan t berjiran. Tapi bila jadi perkataan senang dan tenang, bunyinya boleh membuat orang yang baru belajar Bahasa Melayu atau orang pekak "confuse". 

Sebenaranya pakar bahasa Melayu dan orang yang tak pekak pun selalu "confuse" tentang dua perkataan nie. Buktinya, ramai orang mencari senang untuk mendapat tenang tak kira tau cakap Melayu atau tak, tak kira telinga pekak atau peka, sedangkan senang bukan syarat tenang.....

Orang tinggal di banglo besar, kita kata dia orang senang, tapi tak semua orang di banglo besar hidupnya tenang. Sebab tu pasang alat penggera dan ada juga yang mengupah pak guard untuk mengawasi rumahnya. Bukan kerana senang tapi kerana tak tenang. Takut dan bimbang setiap masa kalau-kalau waktu kita masuk ikut pintudepan, pencuri dan penyamun masuk ikut pintu belakang. 

Buat dosa juga senang, tapi side-effectnya membuat hati jadi tak tenang, resah gelisah. Kerja mengata orang misalnya, boleh dibuat dengan senang. Gerakkan lidah, betulkan makhraj dan keluarkan bunyi dari mulut. Tapi lepas tu.... hati dilanda serba salah dan serba tak tenang. 

Yang payahnya, orang nak nampak tenang dengan senang. Tenang tu berharga.... perkara berharga tidak akan dapat dimiliki dengan bersenang-senang. Nak kunyah agar-agar pun berpuluh-puluh otot yang perlu bekerja! 

Senang itu nampak di mata sedangkan tenang dirasai oleh hati. Banglo besar bolah dilihat dengan mata, kereta besar boleh dilihat dengan mata, wang banyak dan orang gaji yang ramai boleh dilihat dengan mata.... segala yang berbentuk lahir dapat dilihat dengan mata atau disentuh oleh pancaindera. Tapi tenang hanya dapat dirasai oleh hati. 

Bila hati tenang, tempat yang sempit terasa lapang.... tapi bila hati resah, padang bola pun terasa menghimpit seperti lif yang penuh sesak. 

Tenang hanya dapat dimiliki dengan zikrullah mengingati Allah. Bila sebut zikrullah, kita selalu bayangkan duduk ditikar sembahyang dan baca ayat zikir bejam-jam. Sebab itu kita merasa pelik kalau dikatakan zikrullah boleh buat hati tenang. Kerana ramai orang yang dah berzikir tapi tetap tak tenang. Di mana salah dan silapnya? 

Tenang itu dirasa dari hati, oleh itu kalau zikrullah hanya disebut dimulut. Hati tak akan terkesan. Zikrullah dengan hati, memahaminya dan menghayati... mengingati Allah, alam, setiap detik perjalanan hidup- itulah hakikat zikrullah.

Kalau sekadar membaca " Alhamdulillah " beribu kali tapi hati tak ingat ALlah itu dikatakan berzikir, maka silap tekaan kita. Sekadar baca ayat zikir, rasanya burung kakak tua pun boleh buat kalau dilatih tiap-tiap hari.

Hanya hati yang bergantung sepenuhnya dengan Allah dapat merasa nikmat tenang. Bagaimana boleh tenang kalau lidah menyebut "Alhamdulillah" tapi hati berkata "Tak patut Allah tak makbulkan doa aku". 

Bila ingat Allah ketika susah, Allah akan berikan ketenangan.Bila lupa Allah ketika senang, Allah cabut rasa tenang di hati. Bila ingat Allah diwaktu susah dan senang, hati tetap tenang. 

Lebih baik dapat tenang daripada senang. Tapi kalau dapat dua-dua lagi OK!!!!

Monday, May 30, 2011

Menghalalkan Apa Yang Diharamkan

Satu daripada perkara yang membatalkan syahadatain ialah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT atau sebaliknya.  
 
"Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itulah orang-orang pendusta." [an-Nahl:105] 

Begitu juga sebesar-besar pembohongan ialah mudah menghalalkan apa yang diharamkan dan mengharamkan apa yang dihalalkan tanpa kajian yang mendalam. 

"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta "ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung. (Itu adalah) kesenangan yang sedikit; dan bagi mereka azab yang pedih."  
[anNahl: 116-117] 

Satu lagi daripada perkara yang membatalkan syahadatain ialah ingkar nikmat Tuhan samada yang terang atau yang tersembunyi, sesuatu yang mudah difikir atau yang memerlukan kajian. Kerana segala nikmat itu adalah datang dari Allah SWT. Bahkan kita mesti beriman bahawa sesuatu bencana yang menimpa kita juga dari Allah SWT , Dialah pemberi nikmat dan penghalangnya. Bukanlah bidang kuasa manusia di dalam urusan memberi dan menahan rezeki seseorang tetapi hak Allah SWT dengan kehendakNya jua. 

"Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah kamu dapat menhitungnya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)" [Ibrahim: 34] 


"Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah-lah (datangnya), dan bila kamu ditimpa oleh kemudharatan, maka hanya kepada-Nya-lah kamu meminta pertolongan. Kemudian apabila Dia telah menghilangkan kemudharatan itu daripada kamu, tiba-tiba sebahagian daripada kamu mempersekutukan Rabbnya dengan (yang lain), biarlah mereka mengingkari nikmat yang telah Kami berikan kepada mereka; maka bersenang-senanglah kamu. Kelak kamu akan mengetahui (akibatnya)" [An-Nahl: 53-55] 

[Batas-batas Iman & Kufr: Utz S.Hawa]

Thursday, May 26, 2011

Cemburu

Di antara keistimewaan agama Islam kita adalah menitikberatkan kepada moral dan akhlak yang mulia. Rasulullah SAW telah bersabda, "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak." (HR. Ahmad). Ketika Nabi Muhammad SAW diutus, beliau mengakui dan menetapkan akhlak mulia dan budi pekerti yang ada pada masyarakat Jahiliyyah. Sebaliknya, beliau berupaya menghapus semua akhlak dan perilaku yang buruk mereka, dan meluruskan apa yang perlu diluruskan. Di antara akhlak mulia yang dipegang teguh oleh masyarakat Jahiliyah adalah "kecemburuan". 

Seorang lelaki sangat cemburu terhadap kaum wanita mahram mereka. Bahkan ada sebahagian dari mereka yang kecemburuannya berlebihan, hingga sanggup menanam puterinya hidup-hidup, kerana risau kalau sudah dewasa akan berbuat sesuatu yang memalukan. Maka Allah SWT mengharamkan perbuatan tersebut dan melestarikan rasa cemburu (ghairah) dengan menjadikannya sebagai bahagian dari cabang iman. Rasulullah SAW bersabda, yang maksudnya: "Tiada sesuatu apapun yang lebih cemburu dibanding Allah." (HR. Ahmad dan Al-Bukhari). "Sesungguhnya Allah cemburu dan orang beriman pun cemburu. Allah akan cemburu apabila seseorang melakukan apa yang Dia haramkan." (HR. Ahmad, Bukhari dan Muslim). Pernah suatu hari, ketika terjadi gerhana matahari, Nabi SAW bersabda di dalam khutbahnya: "Wahai umat Muhammad, tidak ada seorang pun yang lebih cemburu dibanding Allah." (Muttafaq 'alaih) 

Suatu ketika, Sa'ad bin Ubadah berkata: "Seandainya aku menemukan seorang lelaki bersama isteriku tentu aku pancung ia dengan pedang, bukan dengan lempengnya tetapi dengan mata pedangnya". Maka Rasulullah SAW bersabda: "Apakah kalian merasa hairan dengan kecemburuan Sa'ad? Sesungguhnya aku lebih cemburu dibanding dia, dan Allah lebih cemburu dibanding aku." (Muttafaq 'alaih). Para sahabat nabi benar-benar berpegang teguh kepada sikap ini, kerana cemburu (ghairah) mempunyai kedudukan yang sama dengan kewajiban dan cabang-cabang iman lainnya. 

Sungguh sangat mengecewakan, di negara kita yang berpenduduk majoriti muslim ini sudah terlalu jauh meninggalkan rasa cemburu. Pergaulan bebas dan bercampur antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram sudah menjadi tradisi, bahkan banyak orang tua yang membiarkan anak perempuannya keluar malam bersama lelaki (kekasih) sehingga larut malam. Dan yang lebih parah lagi adalah adanya sebahagian orang tua yang membiarkan anak perempuannya hamil di luar nikah tanpa ada rasa malu sedikitpun, apa lagi hendak cemburu! Malah bangga, kerana anak perempuannya sudah mempunyai kekasih hati, dengan alasan berkawan. Padahal Rasulullah SAW telah bersabda, yang maksudnya: "Ingatlah! Tiada seorang lelaki yang berdua-duaan dengan seorang wanita melainkan syaitanlah yang menjadi pihak ke tiganya." (Riwayat Ahmad dan at Tirmidzi) 

Sungguh betapa makin jauh umat ini dari akhlak yang mulia dan dari tuntutan agamanya, termasuk diantaranya rasa cemburu. Termasuk bentuk terkikisnya rasa cemburu adalah seorang lelaki membiarkan isteri atau wanita yang menjadi tanggungjawabnya ke luar rumah dengan membuka pakaian hijab atau jilbab, menampakkan sebahagian auratnya atau menampakkan bentuk tubuh dan warna kulitnya. Termasuk juga membawa isterinya ke tempat-tempat umum yang terjadi ikhtilat (percampuran) di sana seperti pesta-pesta, sehingga isterinya menjadi sasaran pandangan kaum lelaki lain, juga membiarkan mereka bermusafir (perjalanan jauh) tanpa disertai mahram. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Jangan sekali-kali seorang lelaki berduaan dengan seorang wanita, melainkan dia beserta mahramnya dan janganlah seorang wanita itu bermusafir, kecuali bersama mahramnya." Maka seorang lelaki berdiri dan berkata, "Wahai Rasulullah sesungguhnya isteriku pergi haji, sedangkan aku sendiri telah diwajibkan ikut di dalam peperangan ini dan ini." maka Rasulullah bersabda, maksudnya, "Pergilah berangkat haji bersama isterimu." (HR al Bukhari-Muslim) 

Tuesday, May 24, 2011

Saidatina Fatimah Penghulu Wanita Syurga

Beliau membesar dalam suasana kesusahan. Bondanya pergi ketika usianya terlalu muda dan masih memerlukan kasih sayang seorang ibu. Sejak itu, beliau yang mengambil alih tugas menguruskan rumahtangga seperti memasak, mencuci, mengemas rumah dan menguruskan keperluan ayahandanya. 

Di sebalik kesibukan itu, beliau juga adalah seorang yang paling kuat beribadah. Keletihan yang ditanggung akibat seharian bekerja menggantikan tugas ibunya yang telah pergi itu, tidak pula menghalang Sayyidatina Fatimah daripada bermunajat dan beribadah kepada Allah SWT. Malam-malam yang dilalui, diisi dengan tahajud, zikir dan siangnya pula dengan sembahyang, puasa, membaca Al Quran dan lain-lain. Setiap hari, suara halusnya akan mengalunkan irama Al-Quran. Di waktu umurnya mencapai 18 tahun, beliau dikahwinkan dengan pemuda yang sangat miskin hidupnya. Bahkan oleh kemiskinan itu, untuk membayar mas kahwin pun suaminya tidak mampu lalu dibantu oleh Rasulullah SAW. 

Setelah berkahwin, kehidupannya berjalan dalam suasana yang amat sederhana, gigih dan penuh ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Digelar Singa Allah, suaminya Saidina Ali merupakan orang kepercayaan Rasulullah SAW yang diamanahkan untuk berada di barisan hadapan dalam bala tentera Islam. Lalu, seringlah Sayyidatina Fatimah ditinggalkan oleh suaminya yang pergi berperang untuk berbulan-bulan lamanya. Namun beliau tetap redha dengan suaminya. Isteri mana yang tidak mengharapkan belaian mesra daripada seorang suami. Namun bagi Sayyidatina Fatimah r.ha, saat-saat berjauhan dengan suami adalah satu kesempatan berdampingan dengan Allah SWT untuk mencari kasih-Nya, melalui ibadah-ibadah yang dibangunkan.

Sepanjang pemergian Saidina Ali itu, hanya anak-anak yang masih kecil menjadi temannya. Nafkah untuk dirinya dan anak-anaknya Hassan, Hussin, Zainab dan Umi Kalsum diusahakan sendiri. Untuk mendapatkan air, berjalanlah beliau sejauh hampir dua batu dan mencedoknya dari perigi yang 40 hasta dalamnya, di tengah bahang mentari padang pasir yang terik. Kadangkala beliau berlapar sepanjang hari. Sering juga beliau berpuasa dan sehinggakan tubuhnya sangat kurus hingga menampakkan tulang di dadanya.

Pernah suatu hari, sedang beliau tekun bekerja di sisi batu pengisar gandum, Rasulullah SAW datang berkunjung ke rumahnya. Sayyidatina Fatimah yang amat keletihan ketika itu lalu meceritakan keperitan hidupnya itu kepada Rasulullah SAW. Betapa dirinya teruk bekerja, mengisar tepung, mengangkat air, memasak serta melayan anak-anak. Beliau berharap agar Rasulullah dapat menyampaikan kepada Saidina Ali, kalau mungkin boleh disediakan untuknya seorang pembantu rumah. Rasulullah SAW merasa belas terhadap penanggungan anakandanya itu. Namun baginda amat tahu, sesungguhnya Allah memang menghendaki kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu di dunia untuk membeli kesenangan di akhirat. Mereka yang rela bersusah payah dengan ujian di dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya, mereka inilah yang mendapat tempat di sisi-Nya.

Lalu dipujuknya Fatimah r.ha sambil memberikan harapan dengan janji-janji Allah. Baginda mengajarkan zikir, tahmid dan takbir yang apabila diamalkan, segala penanggungan dan bebanan hidup akan terasa ringan. Ketaatannya kepada Saidina Ali menyebabkan Allah SWT mengangkat darjatnya. Sayyidatina Fatimah tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan keluarga mereka. Tidak juga beliau meminta-minta hingga menyusah-nyusahkan suaminya. Dalam pada itu, kemiskinan tidak menghilang Sayyidatina Fatimah untuk selalu bersedekah. Beliau tidak sanggup untuk kenyang sendiri apabila ada orang lain yang kelaparan. Beliau tidak rela hidup senang dikala orang lain menderita. Bahkan beliau tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri sering kelaparan. Memang sepadan sekali berpasangan dengan Saidina Ali ini kerana Saidina Ali sendiri lantaran kemurahan hatinya sehingga digelar sebagai 'Bapa kepada janda dan anak yatim' di Madinah.

Namun, pernah suatu hari, Sayyidina Fatimah telah menyebabkan Sayidina Ali tersentuh hati dengan kata-katanya. Menyedari kesilapannya, Sayyidatina Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang kali. Apabila dilihatnya air muka suaminya tidak juga berubah, lalu dengan berlari-lari anak beliau mengelilingi Saidina Ali. Tujuh puluh kali dia 'tawaf' sambil merayu-rayu memohon dimaafkan. Melihatkan aksi Sayyidatina Fatimah itu, tersenyumlah Saidina Ali lantas memaafkan isterinya itu. "Wahai Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedang Ali tidak memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu," Rasulullah SAW memberi amaran kepada puterinya itu apabila perkara itu sampai ke pengetahuan baginda.

Begitu sekali kedudukan seorang suami yang ditetapkan Allah SWT sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu perlu berhati-hati dan sangat berhalus di saat berdepan dengan suami. Apa yang dilakukan Sayyidina Fatimah itu bukanlah disengajakan. Apatah lagi, bukan juga beliau merungut-rungut, marah-marah, meninggi suara, bermasam muka, merajuk atau lain-lain karenah yang menyusahkan Saidina Ali k.w. Namun, Rasulullah SAW berkata sebegitu terhadapnya.

Semasa perang Uhud, Sayyidatina Fatimah telah turut sama merawat luka Rasulullah SAW. Beliau juga turut bersama Rasulullah SAW semasa peristiwa penawanan Kota Makkah dan ketika ayahandanya mengerjakan 'Haji Wida' pada akhir tahun 11 Hijrah. Dalam perjalanan haji terakhir ini Rasulullah SAW telah jatuh sakit. Sayyidatina Fatimah tetap di sisi ayahandanya. Ketika itu Rasulullah membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah r.ha yang membuatkannya menangis, kemudian Nabi SAW membisikkan sesuatu lagi yang membuatkannya tersenyum. Dia menangis kerana ayahandanya telah membisikkan kepadanya berita kematian baginda. Namun, sewaktu ayahandanya menyatakan bahawa dialah orang pertama yang akan berkumpul dengan baginda di alam baqa', gembiralah hatinya. Sayyidatina Fatimah meninggal dunia enam bulan setelah kewafatan Nabi SAW, dalam usia 28 tahun dan dimakamkan di Perkuburan Baqi', Madinah.  

Begitu sekali wanita yang utama, agung dan namanya harum tercatat dalam al-Quran, disusah-susahkan hidupnya oleh Allah SWT. Sengaja dibuat begitu oleh Allah kerana Dia tahu bahawa dengan kesusahan itu, hamba-Nya akan lebih hampir kepada-Nya. Begitulah juga dengan kehidupan wanita-wanita agung yang lain. Mereka tidak sempat berlaku sombong serta membangga diri atau bersenang-lenang. Sebaliknya, dengan kesusahan-kesusahan itulah mereka dididik oleh Allah untuk sentiasa merasa sabar, redha, takut dengan dosa, tawadhuk (merendah diri), tawakkal dan lain-lain. Ujian-ujian itulah yang sangat mendidik mereka agar bertaqwa kepada Allah SWT. Justeru, wanita yang berjaya di dunia dan di akhirat adalah wanita yang hatinya dekat dengan Allah, merasa terhibur dalam melakukan ketaatan terhadap-Nya, dan amat bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya, biarpun diri mereka menderita.
p/s: Esok, 20 Jamadil Akhir....Hari kelahiran Fatimah az-Zahra.... Semoga Allah tanamkan rasa cinta di hati kita kepadanya.... dan diberikan kekuatan untuk mencontohi beliau....

Sunday, May 15, 2011

4 Jenis Manusia Dalam Dunia

1. Mereka yang tidak ada lidah dan tidak ada hati.
Mereka ini ialah orang-orang yang bertaraf biasa, berotak tumpul dan berjiwa kerdil yang tidak mengenang Allah dan tidak ada kebaikan pada mereka. Mereka ini ibarat melukut yang ringan, kecuali mereka dilimpahi dengan kasih sayang Allah dan membimbing hati mereka supaya beriman serta menggerakkan angota-anggota mereka supaya patuh kepada Allah.

Berhati-hatilah supaya kamu jangan termasuk dalam golongan mereka. Janganlah kamu layan mereka dan janganlah kamu bergaul dengan mereka. Merekalah orang-orang yang dimurkai Allah dan penghuni neraka. Kita minta dilindungi Allah dari pengaruh mereka. 

Sebaliknya kamu hendaklah cuba menjadikan diri kamu sebagai orang yang dilengkapi dengan ilmu Ketuhanan, Guru kepada yang baik, Pembimbing kepada agama Allah, Penyampai dan Pengajak kepada manusia kepada jalan Allah. Berjaga-jagalah jika kamu hendak mempengaruhi mereka supaya mereka patuh kepada Allah dan beri amaran kepada mereka terhadap apa-apa yang memusuhi Allah. Jika kamu berjuang di jalan Allah untuk mengajak mereka menuju Allah, maka kamu akan jadi pejuang dan pahlawan di jalan Allah dan akan diberi ganjaran seperti yang diberi kepada Nabi-nabi dan Rasul. 

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda kepada Sayyidina Ali; "Jika Allah membimbing seseorang melalui bimbingan kamu kepadaNya, maka itu terlebih baik kepada kamu dari apa-apa sahaja di mana matahari terbit". 

2. Mereka yang ada lidah tetapi tidak ada hati.
Mereka bijak bercakap tetapi tidak melakukan seperti yang dicakapkannya. Mereka mengajak manusia menuju kepada Allah tetapi mereka sendiri lari dari Allah. Mereka benci kepada maksiat yang dilakukan oleh orang lain, tetapi mereka sendiri bergelumbang dalam maksiat itu. Mereka menunjuk kepada orang lain yang mereka itu soleh tetapi mereka sendiri melakukan dosa-dosa yang besar. Bila mereka bersendirian, mereka bertindak selaku harimau yang berpakaian. Inilah orang yang dikatakan kepada Nabi SAW. dengan sabda; "Yang paling aku takuti dan aku pun takut di kalangan umatku ialah orang alim yang jahat"

Kita berlindung dengan Allah daripada orang alim seperti itu. Oleh itu,larilah dan jauhkan diri kamu dari orang-orang seperti itu. Jika tidak,kamu akan terpengaruh oleh kata-kata manis yang bijak berbicara itu dan api dosanya itu akan membakari kamu dan kekotoran hatinya akan membunuh kamu. 

3. Mereka yang mempunyai hati tetapi tidak ada lidah.
Dia adalah seorang yang beriman. Allah telah mendindingkan mereka daripada makhluk dan menggantungkan di keliling mereka dengan tabirNya dan memberi mereka kesedaran tentang cacat cela diri mereka. Allah menyinari hati mereka dan menyedarkan mereka tentang kejahatan yang timbul oleh kerana mencampuri urusan orang ramai dan kejahatan yang timbul oleh kerana mencampuri orang ramai dan kejahatan kerana bercakap banyak. 

Mereka ini tahu bahawa keselamatan itu terletak dalam "DIAM" dan bekhalwat(menyendiri). Nabi SAW pernah bersabda; "Barangsiapa yang diam akan mencapai keselamatan". Sabda baginda lagi; "Sesungguhnya berkhidmat kepada Allah itu terdiri dari sepuluh bahagian, sembilan darinya terletak dalam diam". 

Oleh itu mereka dalam golongan jenis ini adalah Wali Allah dalam rahsiaNya, dilindungi dan diberi keselamatan, bijaksana, rakan Allah dan diberkati dengan keredhaan dan segala yang baik akan diberikan kepada mereka.

Maka, kamu hendaklah berkawan dengan mereka dan bergaul dengan orang-orang ini dan diberi pertolongan kepada mereka. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan dikasihi Allah dan kamu akan dipilih dan dimasukkan dalam golongan mereka yang menjadi Wali Allah dan hamba-hambanya yang Soleh. 

4.Mereka yang diajak ke dunia tidak nampak(Alam Ghaib), diberi pakaian kemuliaan.
Seperti dalam sabda Nabi SAW; "Barangsiapa yang belajar dan mengamalkan pelajarannya dan mengajarkan orang yang lain, maka akan diajak ke dunia ghaib dan dimuliakan". 

Orang dalam golongan ini mempunyai ilmu-ilmu Ketuhanan dan tanda-tanda Allah. Hati mereka menjadi gedung ilmu Allah yang amat berharga dan orang itu akan diberi Allah rahsia-rahsia yang tidak diberi kepada orang lain. Allah telah memilih mereka dan membawa mereka hampir hampir kepadaNya. Allah akan membimbing mereka dan membawa mereka ke sisiNya. Hati mereka akan dilapangkan untuk menerima rahsia-rahsia ini dan ilmu-ilmu yang tinggi. Allah jadikan mereka itu pelaku dan lakuanNya dan pengajak manusia kepada jalan Allah dan melarang membuat dosa dan maksiat. Jadilah mereka itu "Orang-orang Allah". Mereka mendapat bimbingan yang benar dan yang mengesahkan kebenaran orang lain. 

Mereka ibarat timbalan Nabi-nabi dan Rasul-rasul Allah. Mereka sentiasa mendapat taufiq dan hidayah dari Allah Yang Maha Agung. Orang yang dalam golongan ini adalah pada peringkat terakhir atau puncak kemanusiaan dan tidak ada Maqam di atas ini kecuali Kenabian. 

Oleh itu hati-hatilah kamu supaya jangan memusuhi dan membantah orang-orang seperti ini dan dengarlah cakap atau nasihat mereka. Oleh itu, keselamatan terletak dalam apa yang dicakapkan oleh mereka dan dalam berdamping dengan mereka, kecuali mereka yang Allah beri kuasa dan pertolongan terhadap hak dan keampunanNya. 

Sheikh Abdul Qadir Al-Jailan telah membahagikan manusia itu kepada empat golongan. Sekarang terpulanglah kepada diri kita untuk memeriksa diri sendiri di tahap yang mana. Dan selamatkanlah diri kita jika ingin keselamatan. Mudah-mudahan Allah membimbing kita menuju kepada apa yang dikasihiNya dan diredhaiNya, dalam dunia ini dan di akhirat kelak. 

Dipetik dari Kitab Futuuhul Ghaib oleh Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani.

Kepada semua guru-guru di seluruh Malaysia, terutama guruku...
SELAMAT HARI GURU!!!
Moga dirimu dalam redhaNya selalu... 

Tuesday, May 10, 2011

Hadiah Hari Ibu

ya Allah,
Aku menadah kedua tanganku yang hina ini
Memohon Engkau limpahkan rahmat dan hidayahMu
Terasa terlalu lemah diri ini tanpa pertolongan dariMu.

ya Allah ya Tuhanku,
Segala pujian bagiMu Tuhan Sekelian Alam 
Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani 
Hanya kepada Engkau yang kami sembah 
dan kepadaMu juga kami memohon pertolongan 
Tunjukkanlah kami jalan yang lurus
Jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat keatas mereka
Bukannya jalan orang yang Engkau murkai
dan bukan juga jalan orang-orang yang sesat.
 
ya Allah, 
Ampunkanlah dosa-dosaku kepadaMu ya Allah
Aku terlalu lemah dengan godaan syaitan 
Aku masih melakukan maksiat walaupun ku tahu ianya Engkau murkai 
Aku masih lalai dalam ibadat walaupun ku tahu ianya Engkau tuntuti.
 
ya Allah ya Tuhanku
Teguhkanlah iman ku dan kuatkanlah hatiku
Kurniakanlah kepadaku hidayahMu, taufiqMu dan lindunganMu 
Jauhilah aku dari segala laranganMu
Dekatkanlah aku dengan segala suruhanMu 
Tanamlah rasa benci di hatiku kepada maksiat
Tanamlah rasa cinta di hatiku kepada ibadat.
 
ya Allah ya Rahman ya Rahim,
Jadikanlah aku hambaMu dan umat Muhammad SAW yang beriman kepadaMu
dan berbakti kepada kedua ibubapaku
Engkau ampunkanlah dosa kedua ibubapaku 
Kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku ketika aku kecil.
 
Ya Allah, 
Rendahkanlah suaraku bagi mereka
Perindahkanlah ucapanku di depan mereka
Lunnakkanlah watakku terhadap mereka
dan lembutkanlah hatiku untuk mereka
Berikanlah mereka balasan yang sebaik-baiknya atas didikan mereka padaku 
dan pahala yang besar atas kesayangan yang mereka limpahkan padaku 
Peliharalah mereka sebagaimana mereka memeliharaku. 
 
ya Allah ya Tuhanku,
Aku terlalu banyak terhutang budi kepada mereka 
Terlalu banyak budi mereka yang ku balas dengan menyakiti hati mereka 
kasih sayang mereka kubalas dengan kata-kata menentang
sedangkan ku tahu 
Engkau melarang menyebut walaupun perkataan "huh" kepada mereka 
Didikan dan asuhan mereka aku ambil ringan. 
 
Aku lupa ya Allah,
Berkat usaha, asuhan dan didikan merekalah aku berjaya kini
Keselesaan sanggup dilupakan ketika mengandungkan aku
Kesakitan yang amat sangat sanggup dilalui ketika melahirkan aku
Tidur malam mereka aku ganggu
Titik peluh mereka basah kering demi membesarkan aku
Tidak pernah mereka mengadu letih
Tidak pernah mereka mengadu sakit  
Lauk yang dimulut sanggup mereka luah untuk diberikan kepadaku
Harta yang dikumpul sanggup dilepaskan untuk pendidikanku
Namun selama ini aku lupa semua itu ya Allah
Kerana mereka tidak pernah merungut kepadaku ya Allah
Kerana mereka tidak pernah mengadu kepadaku ya Allah. 
 
ya Allah ya Tuhanku,  
dimalam ini aku terkenang semua itu 
dimalam ini aku mengadu kepadaMu ya Allah 
dimalam ini aku memohon sepenuh hati kepadaMu ya Allah 
rahmatilah mereka, ampunilah dosa-dosa mereka, 
dan sekiranya ketika ini mereka Engkau siksa didalam kubur ya Allah 
aku memohon agar Engkau hentikanlah ya Allah 
aku memohon agar jangan Engkau siksa ibubapaku ya Allah 
aku tahu ya Allah mereka terlalu lemah dan tidak mungkin 
dapat menahan siksaanMu yang amat pedih itu ya Allah 
Perkenankanlah doaku ini dan jadikanlah ini doa anak yang soleh 
yang Engkau janjikan akan diperkenankan ya Allah ya Tuhanku.
 
Maha Suci Allah Yang Maha Besar 
Engkau jadikanlah anak-anak ku dari orang-orang yang soleh 
yang mendoakan keampunanku daripadaMu ya Allah 
Jadikanlah mereka sebagai anak kunci pintu syurga ku ya Allah 
dan jangan Engkau jadikan mereka anak kunci ku ke nerakaMu 
Teguhkanlah iman mereka ya Allah 
Jauhilah mereka dari siksaMu ya Allah. 
Hanya kepadaMu aku meminta pertolongan
Wahai Tuhan Sekelian Alam. 
Amin. Amin. Amin. Ya Allah.......
 
Berdoalah untuk ibu & bapa kita dan hargailah sementara mereka   masih hidup....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Post

get this widget here

Tadabbur i-Quran

Hadis Pilihan Hari Ini

Like & Share in 3 seconds!

Share