أصحاب

Thursday, May 26, 2011

Cemburu

Di antara keistimewaan agama Islam kita adalah menitikberatkan kepada moral dan akhlak yang mulia. Rasulullah SAW telah bersabda, "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak." (HR. Ahmad). Ketika Nabi Muhammad SAW diutus, beliau mengakui dan menetapkan akhlak mulia dan budi pekerti yang ada pada masyarakat Jahiliyyah. Sebaliknya, beliau berupaya menghapus semua akhlak dan perilaku yang buruk mereka, dan meluruskan apa yang perlu diluruskan. Di antara akhlak mulia yang dipegang teguh oleh masyarakat Jahiliyah adalah "kecemburuan". 

Seorang lelaki sangat cemburu terhadap kaum wanita mahram mereka. Bahkan ada sebahagian dari mereka yang kecemburuannya berlebihan, hingga sanggup menanam puterinya hidup-hidup, kerana risau kalau sudah dewasa akan berbuat sesuatu yang memalukan. Maka Allah SWT mengharamkan perbuatan tersebut dan melestarikan rasa cemburu (ghairah) dengan menjadikannya sebagai bahagian dari cabang iman. Rasulullah SAW bersabda, yang maksudnya: "Tiada sesuatu apapun yang lebih cemburu dibanding Allah." (HR. Ahmad dan Al-Bukhari). "Sesungguhnya Allah cemburu dan orang beriman pun cemburu. Allah akan cemburu apabila seseorang melakukan apa yang Dia haramkan." (HR. Ahmad, Bukhari dan Muslim). Pernah suatu hari, ketika terjadi gerhana matahari, Nabi SAW bersabda di dalam khutbahnya: "Wahai umat Muhammad, tidak ada seorang pun yang lebih cemburu dibanding Allah." (Muttafaq 'alaih) 

Suatu ketika, Sa'ad bin Ubadah berkata: "Seandainya aku menemukan seorang lelaki bersama isteriku tentu aku pancung ia dengan pedang, bukan dengan lempengnya tetapi dengan mata pedangnya". Maka Rasulullah SAW bersabda: "Apakah kalian merasa hairan dengan kecemburuan Sa'ad? Sesungguhnya aku lebih cemburu dibanding dia, dan Allah lebih cemburu dibanding aku." (Muttafaq 'alaih). Para sahabat nabi benar-benar berpegang teguh kepada sikap ini, kerana cemburu (ghairah) mempunyai kedudukan yang sama dengan kewajiban dan cabang-cabang iman lainnya. 

Sungguh sangat mengecewakan, di negara kita yang berpenduduk majoriti muslim ini sudah terlalu jauh meninggalkan rasa cemburu. Pergaulan bebas dan bercampur antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram sudah menjadi tradisi, bahkan banyak orang tua yang membiarkan anak perempuannya keluar malam bersama lelaki (kekasih) sehingga larut malam. Dan yang lebih parah lagi adalah adanya sebahagian orang tua yang membiarkan anak perempuannya hamil di luar nikah tanpa ada rasa malu sedikitpun, apa lagi hendak cemburu! Malah bangga, kerana anak perempuannya sudah mempunyai kekasih hati, dengan alasan berkawan. Padahal Rasulullah SAW telah bersabda, yang maksudnya: "Ingatlah! Tiada seorang lelaki yang berdua-duaan dengan seorang wanita melainkan syaitanlah yang menjadi pihak ke tiganya." (Riwayat Ahmad dan at Tirmidzi) 

Sungguh betapa makin jauh umat ini dari akhlak yang mulia dan dari tuntutan agamanya, termasuk diantaranya rasa cemburu. Termasuk bentuk terkikisnya rasa cemburu adalah seorang lelaki membiarkan isteri atau wanita yang menjadi tanggungjawabnya ke luar rumah dengan membuka pakaian hijab atau jilbab, menampakkan sebahagian auratnya atau menampakkan bentuk tubuh dan warna kulitnya. Termasuk juga membawa isterinya ke tempat-tempat umum yang terjadi ikhtilat (percampuran) di sana seperti pesta-pesta, sehingga isterinya menjadi sasaran pandangan kaum lelaki lain, juga membiarkan mereka bermusafir (perjalanan jauh) tanpa disertai mahram. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Jangan sekali-kali seorang lelaki berduaan dengan seorang wanita, melainkan dia beserta mahramnya dan janganlah seorang wanita itu bermusafir, kecuali bersama mahramnya." Maka seorang lelaki berdiri dan berkata, "Wahai Rasulullah sesungguhnya isteriku pergi haji, sedangkan aku sendiri telah diwajibkan ikut di dalam peperangan ini dan ini." maka Rasulullah bersabda, maksudnya, "Pergilah berangkat haji bersama isterimu." (HR al Bukhari-Muslim) 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Post

get this widget here

Tadabbur i-Quran

Hadis Pilihan Hari Ini

Like & Share in 3 seconds!

Share