أصحاب

Monday, August 22, 2011

Kepentingan Sirah Nabi dalam Memahami Islam

Rujukan : Fiqh Sirah oleh Dr. Said Ramadhan Al-Buthi

Tujuan kita mempelajari Sirah Nabi adalah bukan sekadar untuk mengetahui kejadian-kejadian bersejarah yang telah dilalui oleh nabi kita Muhammad SAW sebagaimana kita mempelajari teks-teks sejarah lain.

Di sana terdapat tujuan-tujuan yang lebih penting untuk kita mempelajari sirah Rasulullah. Apabila menghayati sirah nabi, seseorang islam itu akan lebih memahami hakikat Islam. Ini kerana hakikat Islam itu sendiri keseluruhannya terkandung dalam keperibadian Rasulullah dan seluruh perjalanan hidupnya.

Di antara objektif utama kita menghayati sirah Rasulullah boleh disimpulkan seperti berikut:

1. Memahami syahsiah peribadi Nabi Muhammad SAW melalui riwayat hidupnya dan suasana yang dialami dalam hidupnya. Dengan menghayati syahsiah dan kehidupan ini dapat menguatkan keyakinan kita bahawa Nabi Muhammad bukan sahaja pintar di kalangan kaumnya bahkan telah dibantu oleh bantuan wahyu yang telah diturunkan kepadanya dari sisi Allah yang Maha Kuasa.

2. Supaya manusia seluruhnya dapat menjadikan Nabi sebagai tauladan ataupun role model yang paling utama dalam setiap aspek kehidupan. Menjadikan kehidupan rasul sebagai ikutan tanpa ragu dan syak. Kalaulah manusia mencari seseorang yang boleh menjadi role model lengkap dalam setiap aspek kehidupan, mereka tidak akan menjumpainya melainkan ianya wujud dalam diri Nabi Muhammad. Oleh sebab itulah Allah telah menyifatkan baginda sebagai Qudwah Hasanah (contoh tauladan) bagi seluruh manusia sebagaimana firman Allah dalam surah Al Ahzab ayat ke 21:


لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

3. Penghayatan sirah Nabi memudahkan kita memahami dan menghayati kandungan kitab suci (al-Quran) dan dapat merasai kemanisan dan kehendak al-Quran. Ini kerana terdapat banyak ayat-ayat al-Quran yang menceritakan kejadian dan peristiwa yang telah dialami oleh Rasulullah dan bagaimana Rasulullah menghadapinya.

4. Seorang Muslim dapat mengumpul sebanyak mungkin maklumat yang tepat berkaitan dengan pengetahuan islam. Maklumat dan pengetahuan ini meliputi setiap aspek yang berkaitan aqidah, hukum hakam, akhlak dan seebagainya.

5. Menjadi contoh tauladan yang paling baik kepada pendidik dan juga pendakwah Islam dalam mendidik dan menyebarkan dakwah kepada manusia. Rasulullah adalah seorang guru, pemberi nasihat dan pendidik yang tak kenal erti jemu.Baginda telah mencuba pelbagai cara yang berkesan untuk menyampaikan dakwahnya.

Sesungguhnya kehidupan Rasulullah seluruhnya adalah role model ataupun tauladan yang perlu kita sanjung.

1. Baginda adalah merupakan contoh yang jelas sebagai seorang remaja dan pemuda yang baik dan berakhlak mulia sehinggalah beliau digelar al amin di kalangan kaumnya.

2. Pendakwah atau pendidik yang paling cemerlang dalam menyeru umat manusia kepada Allah Taala dengan menggunakan konsep hikmah dan mauizah hasanah (peringatan dengan cara yang baik).

3. Seorang yang tidak pernah putus asa dalam dakwahnya. Telah mencuba pelbagai cara dan jalan untuk menyampaikan risalahnya.

4. Seorang ketua negara yang memegang kuasa politik yang paling tinggi. Mentadbir setiap urusan politik dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

5. Seorang suami mithali dalam pergaulan dengan keluarga.

6. Seorang ayah yang pengasih yang teliti dalam membezakan hak dan kewajipan bagi setiap isteri dan anak-anak.

7. Seorang ketua perang yang mahir dan penuh dedikasi.

8. Sebagai seorang muslim yang teliti dan adil dalam beribadat kepada Allah, bergaul dan bergurau dengan keluarga dan sahabat-sahabatnya.

Tidak syak lagi bahawa sesungguhnya penghayatan Sirah Nabi adalah merupakan sesuatu yang amat penting bagi mengangkat martabat manusia dengan menjadikan contoh tauladan dan ikutan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Kita sebagai seorang muslim diwajibkan untuk menyanjung dan mencontohi Rasulullah dalam setiap perlakuan kita seharian kerana akhlak Nabi adalah merupakan akhlak Islam. Dengan mengamalkan akhlak Nabi inilah dapat menjamin kesejahteraan hidup manusia di dunia dan juga di akhirat.

Janganlah kita menjadikan orang lain sebagai contoh ikutan dalam kehidupan kita seharian. Malah lebih teruk penyakit yang melanda umat islam hari ini ialah menyanjung ahli fussak (orang yang banyak buat maksiat pada Allah) sebagai role model dan ikutan. Bahkan mereka langsung lupa kepada junjungan besar Nabi Muhamad sallallahu alaihi wasallam.
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Post

get this widget here

Tadabbur i-Quran

Hadis Pilihan Hari Ini

Like & Share in 3 seconds!

Share