Kita sering mendengar pelbagai berita mengenai tragedi yang berlaku di
seluruh dunia. Ini termasuklah pembunuhan yang berpunca daripada perasaan tamak
serta dengki khianat sesama manusia itu sendiri.
Selain
daripada itu, bencana alam seperti banjir, taufan, gempa bumi, kemarau, letupan
gunung berapi, peperangan serta banyak lagi tragedi lain semakin kerap melanda
sebahagian besar muka bumi yang kita diami.
Kesan
daripada bencana itu, berlakulah kehilangan ribuan nyawa manusia, ternakan dan
juga kerugian harta benda yang tidak ternilai. Dalam pada itu, ada juga
tempat-tempat yang jarang atau tidak pernah kita dengar berlaku gempa bumi,
kini dilaporkan mengalami kejadian itu.
Begitu
juga dengan peperangan, hampir setiap hari beribu-ribu manusia terkorban kerana
bencana buatan manusia sendiri. Daripada peristiwa itu, dapat kita melihat
bagaimana manusia dan alam kini semakin kalut dengan pelbagai kemelut.
Bagaimanapun, qada' dan qadar Allah ternyata berlaku terhadap manusia
berasaskan perbuatan mereka sendiri.
Apabila
datang bencana, ia adalah balasan yang setimpal daripada Allah kepada
segelintir hamba-Nya yang tidak pernah mahu menginsafi perbuatan masing-masing
dengan meneruskan penderhakaan terhadap Allah.
Kalau
direnung secara mendalam, kita akan dapati bahawa segala malapetaka yang
berlaku sekarang membuktikan keagungan Allah terhadap hamba-Nya.
Kemarau
dan banjir umpamanya menakutkan manusia di serata dunia. Ini kerana ia boleh
berlaku di mana saja tanpa mengira keadaan iklim atau fizikal sesuatu tempat
itu lagi hingga ia kadangkala turut mengelirukan pihak yang terbabit untuk
membuat kajian saintifik mengenai bencana tersebut.
Dalam
hubungan itu, masing-masing lupa bahawa bencana itu adalah ketetapan Allah
lantaran kedurjanaan yang dilakukan oleh kelompok manusia tertentu. Kini,
maksiat berlaku di merata tempat dan manusia kian gila dengan kehidupan sosial
tanpa batasan.
Kalau
dikaji secara mendalam, bencana seperti kemarau yang begitu teruk sebenarnya
adalah bala Allah terhadap manusia yang enggan mensyukuri nikmat Allah.
Rezeki
dan kurniaan Allah terhadap mereka banyak dilaburkan ke jalan maksiat dan
sia-sia. Apabila diuji oleh Allah dengan kepapaan dan kemiskinan, mereka begitu
mudah berputus asa dan mula menderhakai Allah dengan melakukan alternatif yang
tidak direstui Islam.
Firman
Allah yang bermaksud:
"Dan
apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana) maka ia
adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan berdosa) dan
(dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu." (Surah As-Syura: ayat 30)
Sebagai
umat Islam yang meyakini keesaan dan keadilan Allah, maka adalah perlu bagi
kita semua untuk merenungi dan meneliti setiap kejadian ngeri, termasuk
pelbagai musibah yang berlaku dengan penuh keinsafan.
Insaf
kerana segala apa yang berlaku adalah kekuasaan Allah dan insaf untuk
beringat-ingat bahawa bencana yang terjadi akan menimpa sesiapa jua nanti,
andainya mereka melakukan penderhakaan terhadap Allah.
Dalam
hal ini, setiap kita perlu merenung ke dalam diri kita dengan serius, mengkaji
setiap tingkah laku dan tindakan yang kita ambil sekian lama, apakah semuanya
menepati kehendak masyarakat keseluruhannya atau menyeleweng daripada landasan
kebenaran dan keredaan Allah.
Apabila
Allah sendiri berjanji seperti di dalam firman-Nya itu, maka tidak mustahil
setiap bencana yang berlaku adalah balasan di atas sikap dan perlakuan manusia
itu sendiri.
Dalam
pada itu, jika ada kesederhanaan dalam malapetaka yang menimpa seseorang atau
sesuatu umat, maka ia barangkali menjadi satu ingatan dan pesanan daripada
Allah agar mereka yang terbabit segera insaf dan kembali kepada kebenaran.
Allah
berfirman yang bermaksud:
"Wahai
kaum-Ku, mintalah ampun kepada Tuhanmu, kemudian kembalilah taat kepada-Nya
agar diturunkan hujan lebat dan menambah bagi kamu kekuatan yang sedia ada dan
janganlah kamu membelakangkan seruan-Ku dengan terus melakukan dosa." (Surah Hud: ayat 52)
Keengganan
menunaikan beberapa tuntutan Islam seperti mengeluarkan zakat juga mempunyai
hubungan dengan bencana, antaranya kemungkinan berlaku kemarau panjang seperti
sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak
menghalang sesuatu kaum itu daripada mengeluarkan harta mereka melainkan mereka
menghalang langit daripada menurunkan hujan, kalaulah tidak kerana binatang (di
muka bumi) nescaya langit pasti tidak akan menurunkan hujan selama - lamanya."
Dalam
sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi daripada Ali bin Abu Talib,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila
umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah mereka ditimpa bencana
iaitu:
1.
Apabila harta yang dirampas (daripada peperangan) diagih-agihkan kepada
orang-orang yang tertentu sahaja.
2.
Apabila zakat dikeluarkan kerana penebus kesalahan (terpaksa).
3.
Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.
4.
Apabila suami terlalu mentaati isteri.
5.
Apabila anak-anak menderhakai ibu bapa masing - masing.
6.
Apabila seseorang lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.
7.
Apabila kedengaran banyak bunyi bising.
8.
Apabila lebih ramai berbicara mengenai hak keduniaan di dalam masjid.
9.
Apabila sesuatu kaum itu terdiri daripada orang yang dihina oleh mereka.
10.
Apabila memuliakan seseorang kerana takutkan tindakan buruknya.
11.
Apabila arak menjadi minuman biasa.
12.
Apabila lelaki memakai sutera.
13.
Apabila perempuan dijemput menghiburkan lelaki.
14.
Apabila wanita memainkan alat - alat muzik.
15.
Apabila orang yang terkemudian menghina orang terdahulu, maka pada saat itu
tunggulah bala yang akan menimpa dalam bentuk angin merah (putting beliung)
atau gerak gempa yang maha dahsyat atau tanaman yang tidak menjadi.
Seandainya
kita sama - sama merenungi hadis di atas, tidak dapat tidak kita akan menerima
hakikat bahawa bencana yang menimpa sesuatu kaum itu adalah berpunca daripada
perbuatan mereka sendiri.
Oleh
itu, sama - samalah kita kembali kepada tatacara hidup seperti yang dituntut
oleh Islam, semoga kehidupan kita akan dirahmati keamanan dari dunia hingga ke
akhirat.
No comments:
Post a Comment