عَنْ أَبِي
هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِى رِزْقِهِ
وَأَنْ يُنْسَأَ لَهُ فِى أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ – رَوَاهُ البُخَارِيُّ والمسلم
Daripada Abu Hurairah RA katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : Barangsiapa yang suka agar dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturrahim. (HR Bukari dan Muslim)
Para ulama mentafsirkan hadis tersebut dengan
beberapa tafsiran, antaranya sebagai satu kinayah (perumpamaan) dengan
keberkatan pada umur dan rezeki dengan sebab taufik Allah SWT kepada sesiapa
yang menyambungkan atau menghubungkan silaturrahim serta melakukan ketaatan
kepada - Nya. Keberkatan pada umur dan rezeki dengan melakukan perkara -
perkara yang mendatangkan manfaat untuk akhirat serta terpelihara daripada
melakukan perkara yang tidak memberi manfaat pada dunia dan akhiratnya.
1. Silaturrahim ( صِلَةُ الرَّحِمِ ) terdiri dari dua perkataan, iaitu Silat ( صِلَةٌ ) : Hubungan, dan Rahim ( الرَّحِمُ ) : Kasih sayang. Jadi menurut bahasa Silaturrahim bermakna : Hubungan kasih sayang atau hubungan antara keturunan dari rahim yang sama.
Silaturrahim terbahagi kepada dua : 1. ( صِلَةُ الرَّحِمِ العَامَّةُ ) : Silaturrahim Am, iaitu hubungan baik dan kasih sayang antara sesama muslim tanpa mengira suku bangsa dan warna kulit, sebab orang yang beriman itu adalah bersaudara. Ini sesuai dengan firman Allah di dalam Al-Quran ( إِنَّمَا المُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ ) : Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara (Al-Hujurat : 10) ; Ditinjau dari sudut lain, Silaturrahim Am ini juga dapat diartikan kerana semua kita berasal dari rahim yang sama iaitu rahim wanita pertama nenek kita Hawa ; 2. ( صِلَةُ الرَّحِمِ الخَاصَّةُ ) : Silaturrahim Khas, iaitu hubungan baik dan kasih sayang antara kaum kerabat kerana berasal dari rahim yamg sama, iaitu rahim nenek kita terdekat, seperti hubungan seseorang dengan adik beradik kandung, saudara mara lainnya seperti pakcik, makcik, sepupu dan lain-lain.
2. Kedua - dua jenis silaturrahim diatas wajib dijaga dengan baik, terutama Silaturrahim Khas, sebab Rasulullah SAW bersabda : Sedekah kepada orang miskin mendapat pahala sedekah, tetapi sedekah kepada kaum kerabat mendapat dua pahala, iaitu : pahala sedekah dan pahala silaturrahim. (HR Tarmidzi : Sahih menurut Al - Albaniy). Para ulama membahagi Silaturrahim Khas kepada tiga golongan, iaitu : 1. Al - Qaathi’ ( القَاطِعُ ) : Orang yang memutuskan Silaturrahim ; Golongan ini tempatnya neraka berdasarkan sabda Nabi SAW : Tidak akan masuk syurga sesiapa yang memutuskan Silaturrahim. (HR Bukhari) 2. Al - Mukaafi’ ( المُكَافِئُ ) : Orang yang seimbang ; Golongan ini hanya akan berbaik-baik selama kerabatnya berbuat baik kepadanya. Dia hanya akan menziarahi kerabatnya selama mereka suka mengunjunginya, atau hanya sekadar balas kunjungan. Namun golongan ini sudah termasuk baik jika dibandingkan Al - Qaati’ diatas ; 3. Al-Waasil ( الوَاصِلُ ) : Orang yang menghubungkan silaturrahim ; Golongan inilah yang paling baik. Mereka sentiasa berusaha menghubungkan silaturrahim dengan kaum kerabatnya, walaupun terhadap kaum kerabat yang ingin memutuskan hubungan silaturrahim dengannya.
3. Berdasarkan hadis Sahih diatas dapatlah diambil kesimpulan betapa besar fadhilat atau kelebihan bersilaturrahim, iaitu : 1. Panjang Umur ; 2. Murah Rezeki. Setiap manusia yang waras cara berfikirnya, pasti mengimpikan kedua-dua anugerah Allah tersebut. Malah kita saling doa - mendoakan jika bertemu rakan, apalagi bila lama tidak bersua : Mudah - mudahan kamu panjang umur dan murah rezeki ! Ini membuktikan bahawa dua nikmat tersebut menjadi harapan setiap insan yang berfikiran waras. Hanya saja yang pasti, kedua - dua kelebihan tersebut akan diperolehi hanya oleh golongan Al - Waasil. Hal ini diisyaratkan oleh ( فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ ) : Hendaklah dia menghubungkan Silaturrahim. Semoga golongan Al-Mukaafi’ juga layak mendapat fadhilat tersebut, namun darjat Al - Waasil tahapnya lebih tinggi dan lebih mulia lagi. Hal ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam hadis yang lain, sabdanya : Di dalam syurga kelak ada golongan yang setarap dengan para Nabi, padahal mereka bukan dari kalangan Nabi. Tahukah kamu wahai sahabat, siapakah golongan manusia itu ? Setelah para sahabat tidak tahu jawapannya, lalu baginda SAW menjelaskan : Mereka adalah golongan yang suka memberi, walaupun orang lain bakhil kepadanya, mereka adalah golongan yang suka memaafkan, walaupun orang lain suka berbuat zalim terhadapnya, mereka adalah golongan yang suka menghubungi silaturrahim, walaupun orang lain itu ingin memutuskan silaturrahim dengannya. (Maksud Hadis)
4. Apakah yang dimaksudkan dengan murah rezeki ? – Selaku orang yang beriman, kita tidak pernah meragukan setiap ucapan Rasulullah SAW adalah benar belaka, sebab semua ucapan Nabi SAW adalah wahyu, bukan berdasarkan hawa nafsu. Allah berfirman : Tidaklah baginda bercakap berdasarkan hawa nafsunya, tetapi semua ucapannya adalah wahyu belaka. (Al - Najmi : 3 - 4). Mungkin juga ada hikmah atau rahsia disebaliknya – Wallahu A’lam – bahawa orang yang suka bersilaturrahim biasanya orang yang baik reaksinya, ramah orangnya dan bermanis muka bila bersua. Dan orang yang ramah dan baik hubungan dengan orang lain biasanya, akan banyak pula peluangnya untuk mendapat sumber rezeki. Dan ini berbeza dengan orang - orang pendiam, tidak ramah dan tidak saling berhubungan dengan dunia luar. Sebab - sebab seumpama ini disebut dalam Ilmu Aqidah sebagai Sebab Syar’iy (sebab yang termaktub di dalam Al-Quran atau Al-Sunnah).
5. Apakah yang dimaksudkan dengan panjang umur ? Bukankah umur sudah ditetapkan oleh Allah sejak azali ? Ulama Hadis menjawab : Ada dua makna panjang umur disini, iaitu : 1. Hidupnya diberkati Allah ; Maksudnya : Seseorang digolongkan panjang usianya jika hidupnya diberkati oleh Allah SWT seperti istiqamah (berpegang teguh) dalam beragama dan taat kepada Allah dan Rasul - Nya, walaupun dia mati muda. Contoh : Imam Syafii, umur pertamanya hanya 54 tahun (150H-204H) tetapi dalam umur keduanya sudah melebihi 1200 tahun di alam barzakh (204H-1432H) – Lihat Nota No.10 ; 2. Allah akan anugerah dia anak-anak yang soleh dan solehah. Maksudnya : Seseorang tergolong panjang usia jika dianugerahkan anak-anak yang soleh dan solehah, walaupun mereka mati muda, sebab Nabi SAW bersabda :Sesungguhnya anaknya adalah usahanya. (HR Ashab Al-Sunan) Hadis lain : Jika mati anak Adam, maka terputuslah amalannya, kecuali tiga perkara : 1. Sadakah jariyah ; 2. Ilmu yang bermanfaat ; 3. Anak soleh yang mendoakan (ibu bapanya). (HR Ibnu Majah)
6. Kalaulah demikian fadhilat silaturrahim, maka dapatlah diambil kesimpulan betapa besar dosa dan siksaan yang bakal diterima oleh orang suka yang memutuskan silaturrahim. Kaedah Usul menyebut ( تُعْرَفُ الأَشْيَاءُ بِأَضْدَادِهَا ) : Sesuatu dapat diketahui melalui lawannya. 1. Bahaya syirik dapat diketahui melalui betapa besarnya fadhilat Tauhid ; 2. Bahaya durhaka kepada ibu bapa boleh diketahui melalui betapa besar ganjaran orang yang berbuat ihsan kepada ibu bapanya ; 3. Bahaya melarang orang yang menyampaikan kebenaran dan memakmurkan masjid dapat diketahui melalui betapa besar ganjaran orang yang suka memakmurkan masjid.
Demikianlah, betapa bahaya orang yang memutuskan silaturrahim dapat diketahui dengan mengetahui betapa besarnya ganjaran yang bakal diterima oleh orang yang menghubungkan silaturrahim. Ditinjau dari sudut lain pula, kalaulah secara tersurat (mantuq) demikian fadhilat menghubungkan silaturrahim, maka secara tersirat (mafhum) bahaya memutuskan silaturrahim pula ialah boleh membawa 1. Sempit rezeki, dan 2. Pendek umur, sebagaimana pengertian diatas, yakni : 1. Hidupnya tidak diberkati Allah, walaupun mungkin umurnya mencecah 100 tahun. 2. Allah SWT akan mempersulitnya untuk mendapat zuriyat keturunan yang soleh dan solehah. Na’uudzu Billaahi Min Dzaalik.
7. Oleh itu, jika terjadi persengketaan antara adik beradik, atau dengan sepupu, pakcik, makcik dan kaum kerabat lainnya atau sesama muslim lainnya, maka usahakanlah segera agar jangan berpanjangan. Rasulullah SAW bersabda : Tidak halal seorang muslim tidak berteguran dengan saudaranya melebihi tiga hari. Bila mereka bersua, yang satu melencong kesana dan yang satu lagi melencong kesini. Orang yang paling baik antara mereka berdua ialah siapa diantara mereka yang lebih dahulu memberi salam (menyapa) – (HR Bukhari dan Muslim). Jangan segan- segan untuk menyapa dan memberi salam kepada muslim lain yang ingin bermusuhan dengan kita. Berusahalah untuk sentiasa menjadi muslim yang paling baik disisi Allah, walaupun dimata manusia biasa kita dilihat sebagai orang yang hina. Semoga kita semua diberi Allah SWT taufiq - Nya sehingga dipermudahkan untuk melaksanakan suruhan - Nya dan menjauhi larangan - Nya. Amin Ya Rabbal ‘Aalamiin.
No comments:
Post a Comment