Sepanjang perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus bertawakal. Dia yakin, Allah tidak akan menganiaya hamba - hambaNya. Pasti ada hikmah di sebalik perintah itu. Setelah lebih kurang 6 bulan perjalanan, tibalah mereka di Makkah. Nabi Ibrahim a.s. memilih salah sebuah lembah di tengah-tengah padang pasir. Nabi Ibrahim a.s. turun dari untanya dan mengikat tali unta di sebatang pokok tamar.
Bahang
sinaran matahari bukan kepalang. Tekaknya yang dari tadi kehausan, sedikitpun
tidak diendahkannya. Yang difikirkannya, bagaimanakah cara untuk memberitahu
isterinya tentang perintah Allah SWT itu. Sepanjang perjalanan tadi lidahnya
seolah-olah kelu untuk berkata-kata.
Setelah Siti Hajar diturunkan, tanpa berlengah lagi Nabi Ibrahim a.s. bersiap sedia untuk pergi. Apabila Siti Hajar melihat perlakuan suaminya, yang tergesa - gesa mahu pergi, ditariknya jubah suaminya sambil merayu-rayu: "Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu di sini?"
Tanpa
memandang wajah isteri yang dicintainya, Nabi Ibrahim a.s. hanya mampu
menganggukkan kepala. ""Oh... kiranya kerana dosaku menyebabkan
engkau bertindak begini, ampunkanlah aku. Aku tak sanggup ditinggalkan di tengah-tengah
padang pasir yang kering kontang ini..." "Tidak wahai isteriku, bukan
kerana dosamu...". "Kalau bukan kerana dosaku, bagaimana dengan anak
ini... Anak ini tidak tahu apa - apa. Tergamakkah engkau meninggalkannya?"
Hati
Nabi Ibrahim a.s bagai disiat - siat. Pilu dan pedih hatinya, hanya Allah SWT
yang tahu. "Tidak, bukan itu maksudku... Tapi apa dayaku... ketahuilah, ini
semua adalah perintah Allah SWT."
Bila
disebut ianya perintah Allah SWT, Siti Hajar terdiam. Kelu lidahnya untuk terus
merayu. Terbayang olehnya penderitaan yang bakal dihadapi sendirian nanti. Dia
yakin kalau tidak kerana perintah Allah SWT, masakan suaminya sanggup meninggalkan dia serta anaknya di situ. Dia sedaya upaya menguatkan
pergantungan dan pertolongan kepada Allah SWT. Namun hatinya masih
tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik perintah Allah SWT itu?
Sewaktu
gelodak hatinya semakin memuncak, dengan rahmat Allah SWT, disingkapkan
penglihatan Siti Hajar ke suatu masa akan datang. Digambarkan tempat itu
nanti akan didatangi oleh manusia dari serata pelusuk dunia, yang
berduyun-duyun datang untuk membesarkan Allah SWT. Melihat peristiwa itu,
terpujuklah hatinya. Cinta dengan Allah, dengan menegakkan agamaNya, memerlukan
pengorbanan...
Lalu
dengan hati yang berat tetapi penuh keyakinan, Siti Hajar berkata kepada
suaminya: "Jika benar ia adalah perintah Allah SWT, tinggalkanlah kami di
sini. Aku redha ditinggalkan." Siti Hajar berkata dengan penuh yakin sambil mengesat air
matanya yang berlinangan. Ditabahkan
hatinya dengan berkata: "Tentang keselamatan kami, serahkanlah urusan itu
kepada Allah SWT. Pasti Dia akan membela kami. Masakan Dia menganiaya kami yang
lemah ini." Siti
Hajar menggenggam tangan suaminya. Kemudian dikucupnya, meminta redha di atas
segala perbuatannya selama mereka bersama. "Cuma...," katanya lagi,
"Doakanlah agar datang pembelaan Allah SWT kepada kami."
Nabi
Ibrahim a.s sangat terharu dan bersyukur. Isterinya Siti Hajar sememangnya wanita
terpilih. Dia segera mengangkat tangannya untuk berdoa: "Ya Tuhan kami,
aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir ini yang tandus tanpa pohon
berkayu dan buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan
mendirikan sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka,
kurniakanlah rezeki pada mereka dari buah-buahan, mudah - mudahan mereka bersyukur
kepadaMu."
Menitis
airmatanya mendoakan keselamatan anak dan isteri yang dicintai. Hati suami mana
yang sanggup meninggalkan anak dan isteri di padang pasir tandus yang sejauh
enam bulan perjalanan dari tempat tinggalnya. Namun atas keyakinan yang padu
pada janji Allah SWT, ditunaikan juga perintah Allah SWT walaupun risiko besar yang
bakal dihadapi. Selesai berdoa, tanpa menoleh ke arah isteri dan
anaknya, Nabi Ibrahim a.s terus meninggalkan tempat itu dengan menyerahkan mereka
terus kepada Allah SWT. Tinggallah Siti Hajar bersama anaknya yang masih merah
di dalam pelukannya. Diiringi pemergian suaminya dengan linangan air mata dan
syukur. Ditabahkan hati untuk menerima segala kemungkinan yang akan berlaku.
Tidak
lama selepas pemergian Nabi Ibrahim a.s, bekalan makanan dan minuman pun habis.
Air susunya juga telah kering sama sekali. Anaknya Ismail a.s menangis
kehausan. Siti Hajar hampir buntu. Di mana hendak diusahakannya air di tengah
padang pasir yang kering kontang itu? Sedang dia mencari - cari sumber air,
dilihatnya dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari ke arah sumber air
itu. Tetapi apa yang dilihatnya hanyalah bayangan. Namun Siti Hajar tidak
berputus asa. Dari tempat lain dia ternampak seolah-olah di tempat di mana
anaknya diletakkan memancar sumber mata air. Diapun segera berlari ke arah
anaknya. Tetapi sungguh malang, yang dilihatnya adalah bayangan. Tanpa
disedari dia telah berulang - alik sebanyak tujuh kali di antara dua bukit, Safa dan
Marwah untuk mencari sumber air.
Walaupun
tubuhnya telah keletihan berlari ke sana ke mari mencari sumber air, namun dia menyedari tiada tanda - tanda akan mendapat air. Sedangkan anak yang telah kehausan itu
terus menangis sambil menghentak - hentakkan kakinya ke bumi. Tiba - tiba dengan
rahmat Allah SWT, sedang Siti Hajar mencari-cari air, terpancutlah air dari
dalam bumi di hujung kaki anaknya Ismail a.s. Waktu itu gembiranya hati Siti
Hajar bukan kepalang. Dia pun mengambil air itu dan terkeluar dari mulutnya,
"Zami, zami, zami..." yang bermaksud, berkumpullah, berkumpullah, berkumpullah.
Seolah-olah dia berkata kepada air itu, "Berkumpullah untuk anakku."
Selepas
peristiwa itu, kabilah - kabilah yang berlalu akan berhenti untuk mengambil air.
Ada pula yang terus bermastautin di lembah Bakkah (iaitu Makkah) kerana berdekatan dengan
sumber air tersebut. Begitulah kehendak Allah SWT. Sengaja didatangkan sebab musabab
untuk menjadikan Islam gemilang dan menjadikan Makkah tumpuan manusia untuk dikunjungi.
Ya,
Siti Hajar, seorang wanita solehah yang merupakan isteri Nabi Ibrahim yang paling
dicintai Allah SWT, adalah perintis kepada semua peristiwa itu, hingga Makkah
sekarang menjadi tempat yang paling aman dan diberkati.
No comments:
Post a Comment