أصحاب

Friday, November 18, 2011

Umur Tidak Bertambah dan Tidak Berkurang


Umur Tidak Bertambah Dan Tidak Berkurang

Firman ALLAH Taala : (( Kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaat pun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan )), dan Dia berfirman : (( Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan )). Sabda Rasulullah S.A.W : “Sesungguhnya Allah Taala menugaskan satu malaikat berhubung dengan peringkat-peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim ibunya dan keadaan-keadaan yang akan dilalui dan didapatinya. Apabila air benih itu jatuh ke dalam rahim, Malaikat bertanya: “Ya Tuhanku! Air benih ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? – Ya Tuhanku! Darah seketul ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? – Ya Tuhanku! Daging segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Maka apabila Allah hendak sempurnakan jadinya seorang anak, Malaikat bertanya lagi: “Ya Tuhanku! Adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau seorang (yang bernasib) bahagia? Lelakikah ia atau perempuan? Bagaimana pula keadaan rezekinya dan ajalnya?” (Setelah Malakikat mendapat jawapannya) maka ia menulis sebagaimana yang telah diperintahkan sedang anak itu dalam perut ibunya”.

Yang demikian menunjukkan bahawa setiap manusia itu ditetapkan ajal, tidak cepat dan tidak juga lewat. Sesungguhnya umur itu tidak bertambah dan tidak pula berkurangan, lalu timbullah di situ dua persoalan:
1-     Jikalau umur itu mempunyai had, maka kenapakah pembunuh dihukum mati?
2-     Jikalau umur itu mempunyai had maka apakah makna apa yang diriwayatkan bahawa ‘sesungguhnya menyambungkan silaturrahim akan memanjangkan umur’?

Jawapan kepada soalan pertama memerlukan kepada kita membahaskan permasalahan pembalasan. Seseorang hamba itu sesungguhnya dihisab ke atas perbuatannya adalah disebabkan pilihannya sendiri bukan berdasarkan qadha dan qadar. Secara hakikatnya Allah Taala mengetahui sesuatu kewujudan itu sebelum ianya tercipta lagi dan tidak dapat tidak ianya terjadi di dalam bentuk yang diketahuiNYA. Dan Dia-lah pencipta seluruh perbuatan hamba-hambaNYA. Lalu disini kita katakan: Sesungguhnya pembunuh tidak mengetahui ajal yang telah Allah Taala tetapkan kepada yang dibunuh, tidak juga dibunuh mangsa tersebut kerana si pembunuh mengetahui pengakhiran ajalnya. Sesungguhnya tidak ada sesiapa pun yang mengetahui bila ajal itu datang kecuali Allah Taala sahaja bahkan si pembunuh mempunyai pilihan pula untuk dirinya sama ada membunuh dengan pembunuhan yang disyariatkan iaitu bunuh qisas atau yang tidak disyariatkan seperti bunuh kerana harta. Sabda Rasulullah S.A.W : “Apabila bertemu dua orang Islam dengan kedua-dua pedang maka orang yang membunuh atau dibunuh masuk ke neraka. Maka aku berkata: Wahai Rasulullah, adakah mangsa menerima hukuman yang sama? Lalu Nabi bersabda: dia pun turut mempunyai niat untuk membunuh sahabatnya”. Oleh yang demikian, umur mempunyai had, dan pembunuh itu sabit keatasnya dosa dan balasan di atas perbuatannya.

Adapun persoalan kedua ialah isyarat dari hadis baginda S.A.W : “Sesiapa yang suka dilapangkan pada rezekinya dan dilewatkan ajal dan umurnya, maka hendaklah ia menyambungkan silaturrahim”. Hal yang demikian juga menyamai dengan jawapan kepada manfaat berdoa. Maka boleh kita katakan: sesungguhnya silaturrahim menjadi sebab kepada umur panjang sebagaimana makanan, minuman dan ubat-ubatan menjadi sebab kepada kelangsungan hidup. Allah Taala merupakan pencipta kepada segala sebab musabab, maka apabila Dia mengkehendaki hayat yang panjang bagi seseorang hamba maka Dia mengilhamkan kepadanya untuk makan, minum dan juga berubat jikalau sakit. Adapun apabila Allah Taala mengkehendaki umur seseorang hamba itu lebih panjang daripada saudara-maranya, maka Dia mengilhamkan pula supaya hamba tersebut menghubungkan silaturrahim. Apa yang dimaksudkan dengan hadis tersebut ialah galakan menyambungkan silaturrahim. Ulama’ mentafsirkan hadis tersebut dengan beberapa tafsiran antaranya sebagai satu kinayah dengan keberkatan pada umur dan rezeki dengan sebab taufik Allah Taala kepada sesiapa yang menyambungkan silaturrahim serta melakukan ketaatan kepadaNya, juga keberkatan pada umur dan rezeki dengan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat pada dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Post

get this widget here

Tadabbur i-Quran

Hadis Pilihan Hari Ini

Like & Share in 3 seconds!

Share